
Dituduh Kena Kawal Dengan Kerajaan, SPRM Buat Laporan Polis Terhadap Pimpinan Bersatu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu yang dibuat oleh ahli parti Bersatu di TikTok.
Perkara itu dikongsikan SPRM menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di laman X mereka sebentar tadi.
Berdasarkan perkongsian tersebut, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali bin Idris didakwa telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu ke atas suruhanjaya tersebut.
Kenyataan itu dibuat Datuk Razali semasa ucapan beliau di majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.
Dalam ucapan itu, beliau mendakwa bahawa jentera-jentera kerajaan, SPRM dan hakim-hakim telah dikawal oleh kerajaan semasa.
Selain itu, beliau juga telah mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi atas perbicaraan empat pertuduhan ke atas Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq.
SPRM dalam kenyataannya berkata bahawa, mereka memandang berat fitnah itu kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai. Terutamanya terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara.
“SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai. Terutamanya terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini,” tulis kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, SPRM juga menegaskan bahawa badan itu adalah penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang.
Suruhanjaya itu bertindak atas undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional.
“SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak,” tambah kenyataan itu lagi.
Susulan laporan itu, SPRM berharap agar tindakan sewajarnya boleh diambil ke atas mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah tersebut.
BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis
SPRM LAPOR POLIS PERNYATAAN PALSU OLEH AHLI PARTI BERSATU pic.twitter.com/U403ZN1fAk
— SPRM (@SPRMMalaysia) November 15, 2023
Sumber: X/SPRM Malaysia
The post Dituduh Kena Kawal Dengan Kerajaan, SPRM Buat Laporan Polis Terhadap Pimpinan Bersatu appeared first on Siakap Keli.

