
KUALA LUMPUR - Satu laporan polis dibuat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok susulan ugutan bunuh yang diterimanya malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Naib Pengerusi DAP itu berkata, beliau menerima sekeping surat mengandungi kata-kata berbaur ugutan dan dua butir peluru yang dialamatkan ke rumahnya.
“Semalam bila saya pulang ke rumah dan mengambil surat di peti surat, saya dapati ada satu sampul surat mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.
"Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis:- “C****i lu Cina!!! Lu akan mati!!!TUNGGU!!!”, katanya menerusi hantaran itu.

Jelas Teresa, laporan polis sebagai langkah keselamatan telah dibuat di Balai Polis Petaling dan peluru itu juga telah diserahkan untuk siasatan.
“Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominium saya untuk menjalankan pemeriksaan.
“Saya memang hairan dan tidak mengerri kenapakah saya terima peluru dan surat yang penuh ugutan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam reaksi terhadap ugutan bunuh Kok berkata tindakan mengugut Ahli Parlimen sepatutnya tidak berlaku kerana mereka adalah suara rakyat.
Melahirkan pendapat senada, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau mewakili seluruh pucuk pimpinan DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berkenaan.

Tegasnya, unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat terutamanya dalam menangani perbezaan pendapat dalam politik.
“Seluruh pimpinan DAP bersolidariti dengan beliau berdepan dengan ugutan ini.
“Saya juga berterima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas selepas menerima laporan polis. Saya yakin pihak polis akan menyiasat dengan terperinci dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam kes jenayah tersebut,” katanya. - Getaran, 19 Mei 2024

