Diuji Lapan Tahun Tanpa Zuriat, Siapa Sangka Panggilan Ini Bawa Sinar Kehidupan

Family & Parenting
3 Mar 2026 • 4:49 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Selama lapan tahun tanpa zuriat, hidup mereka kelihatan biasa pada pandangan luar. Di mata keluarga, kehidupan berjalan seperti biasa.

Siang keluar bekerja, malam pula diluang melakukan aktiviti bersama. Berbual kosong, menonton filem di kaca televisyen.

Namun bagi Akmal Fikri, 42 tahun, dan isteri, perjalanan itu semakin terasa sunyi.

Ketika ditemui SK, Akmal yang bekerja sebagai pegawai eksekutif IT di sebuah syarikat swasta berkata, pada awal perkahwinan, mereka tidak terlalu memikirkan soal anak.

Masuk tahun ketiga dan keempat, usaha secara serius bermula.

Sudah beberapa kali mereka ke hospital dan LPPKN untuk menerima rawatan. Namun, setiap usaha tidak menampakkan hasil.

Menjelang penghujung tahun ketujuh perkahwinan, mereka mula menerima hakikat.

“Dah tak ada rezeki,” ujar lelaki berkenaan.

Pasangan tersebut mengambil keputusan untuk mendaftar nama dalam senarai menunggu anak angkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bayi yang ditolak 10 keluarga

Suatu hari, tanpa disangka, kakak kepada Akmal yang pernah bekerja di sebuah hospital menghubungi mereka.

Beliau bertanya sama ada pasangan tersebut ingin melihat seorang bayi perempuan yang ditinggalkan ibunya.

Tanpa berfikir panjang, enjin kereta dihidupkan dan mereka terus ke hospital.

image is not available
Kredit: Akmal Fikri

Setibanya mereka di wad, pegawai kebajikan dan jururawat memaklumkan bahawa bayi itu sudah ditolak oleh 10 keluarga sebelum ini.

Akmal akui, air matanya menitis tatkala mendengar kisah tersebut.

Katanya, bayi berkenaan dilahirkan pada usia kandungan 24 minggu dengan berat hanya 790 gram.

Ibu bayi yang berusia 17 tahun ketika itu, meninggalkannya sejurus melahirkan.

Baca juga:

Selama enam bulan bayi itu berada di hospital, pelbagai kisah menyentuh hati berlaku.

Tiga bulan pertama, bayi tersebut berada di dalam inkubator. Manakala tiga bulan selepas itu, bayi berkenaan dijaga oleh para jururawat dan ibu-ibu lain yang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Baju-baju, botol susu, susu tepung dan lampin yang ada bersama bayi merupakan hadiah daripada ibu-ibu tu,” maklum Akmal.

Pada awalnya, dia dan isteri memutuskan untuk tidak mengambil bayi berkenaan.

Mereka ragu apabila doktor memaklumkan terdapat risiko komplikasi paru-paru berikutan bayi tersebut yang lahir pramatang.

Pertimbangan membuka jalan selepas lapan tahun tanpa zuriat

Meskipun begitu, terbit perasaan yang tidak dapat dizahirkan dalam jiwa.

Sebelum pasangan ini nekad, Akmal memilih untuk mengadakan mesyuarat bersama ahli keluarganya agar mereka dapat membuat pertimbangan sebaik mungkin.

Tidak hanya berbincang mengenai kelengkapan bayi, mereka turut berbincang tentang persediaan yang perlu dilakukan serta urusan ibu susuan sebelum menerima si kecil dalam hidup mereka.

Bagi Akmal, perancangan rapi amat diperlukan, memandangkan mereka tidak melalui tempoh sembilan bulan untuk membuat persediaan seperti pasangan yang menantikan kelahiran secara normal.

Akhirnya, mereka sepakat untuk menerima bayi tersebut.

Tanggal 30 Ogos 2018, perjalanan mereka bersama si kecil bermula.

Pasangan berkenaan diminta berada di hospital selama seminggu untuk proses pemantauan dan melihat keserasian ibu dengan bayi tersebut.

Isterinya diminta menemani bayi sepanjang masa, manakala Akmal perlu hadir pada setiap waktu melawat.

“Saya ingat lagi. Hari pertama saya dukung bayi tu dan letakkan kepalanya di bahu saya, dia tidur dengan mudah,” imbau Akmal.

image is not available
Kredit: Akmal Fikri

Keadaan kesihatan si kecil menjadi penguat ikatan

Menurutnya, setiap pagi bayi tersebut perlu diberi inhaler preventer yang perlu dilakukan sendiri oleh mereka.

Bukan itu sahaja, malah pemeriksaan mata, paru-paru dan perkembangan juga perlu dibuat setiap tiga bulan.

Tambahnya lagi, bayinya itu perlu menerima vaksin paru-paru Palivizumab sebanyak lima dos bagi mencegah jangkitan Virus Sinsitium Pernafasan (RSV).

Biarpun begitu banyak prosedur yang perlu diikut, bayi tersebut tidak banyak meragam.

Melihat kepada keadaan ini, Akmal merasakan mungkin ini zuriat yang telah tertulis buat mereka.

Dahulunya cahaya yang menumpang kasih wad hospital, menjadi si cilik yang membesar penuh kasih sayang

Kini, bayi tersebut sudahpun menginjak ke usia lapan tahun.

Kehadirannya banyak mengubah fokus hidup pasangan berkenaan.

Jika dahulu, mereka hanya memikirkan soal kerjaya dan gaya hidup, kini segala perhatian diberi kepada zuriat yang satu.

Harapan mereka agar zuriat ini tidak pernah merasa dirinya keluarga sementara.

Sebaliknya, memahami bahawa dia dipilih dengan penuh kesedaran dan kasih sayang.

“Mohon doakan anak kami menjadi anak solehah,” titip Akmal menutup perbualan.