SEPANG - Cubaan menyeludup enam ekor ungka yang disumbat dalam bagasi berjaya digagalkan selepas penahanan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada Khamis.
Tangkapan dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kira-kira jam 8.35 malam.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, semakan mendapati lelaki itu merupakan warga tempatan berusia 38 tahun.
Menurutnya, suspek dipercayai akan berlepas ke Hyderabad, India pada jam 9 malam.
"Ungka-ungka bernilai anggaran RM18,000 telah diletakkan dalam empat beg kecil atau raga dan disorok dalam beg bagasi bersaiz besar yang turut diisi dengan barang-barang lain seperti pakaian serta bungkusan makanan ringan
"Kesemua ungka yang dirampas boleh dikategorikan sebagai masih di peringkat ’juvenile’ iaitu masih muda dan tidak matang. Ungka-ungka ini berumur di bawah satu tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek berperanan sebagai pembawa atau 'transporter' dan dipercayai direkrut oleh sindiket penyeludupan hidupan liar dengan janji upah lumayan.
Katanya, soal siasat awal suspek mengaku menerima wang sebanyak RM2,000 sebagai upah membawa bagasi ke India.
"Perhilitan masih dalam proses siasatan terutama apabila melibatkan spesies hidupan liar yang dikategorikan sebagai dilindungi sepenuhnya dalam Akta 716 dan sangat sukar untuk dilihat dan ditemui di dalam hutan atau habitat semula jadinya," ujarnya.
Abdul Kadir mengingatkan kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti penyeludupan dan jenayah hidupan liar supaya menghentikan serta-merta aktiviti berkenaan atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.
"Semua pihak turut disaran untuk memainkan peranan bersama-sama dengan melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke talian hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my," katanya.
