Diusir, penduduk Mukim Dalit gesa campur tangan Ketua Menteri

LocalPolitics
16 Jul 2025 • 2:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Marutin Ansiung

KENINGAU: Lebih 700 penduduk dari lapan buah kampung di Mukim Dalit, Sook merayu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor supaya campur tangan dan mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tanah warisan mereka dengan sebuah syarikat yang mengeluarkan notis pengusiran kepada mereka pada Mei tahun ini.

Mereka terkejut apabila secara tiba-tiba menerima notis pengusiran daripada sebuah syarikat pemegang Geran Hakmilik PL 136291659 yang dihantar melalui sebuah firma guaman berpangkalan di Kota Kinabalu.

Notis pengusiran bertarikh 8 Mei 2025 itu memberikan tempoh 30 hari dari tarikh penyerahan kepada penduduk untuk mengosongkan tanah terbabit dan menyerahkan pemilikan kosong kepada syarikat berkenaan.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Bagaimanapun, penduduk dari lapan kampung terjejas – Kampung Bonor, Kabatang Luku Malaing, Likowon, Desa Permai Haksa Pupuhi Melosok, Sanang, Dalit Station, Karamatoi dan Angkawangan – enggan meninggalkan tanah yang telah diduduki oleh nenek moyang mereka sejak turun-temurun.

Susulan penerimaan notis itu, Jamir Ubi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gabungan Kampung Mukim Dalit, Sook berkata mereka membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi mendapatkan nasihat dan bantuan.

Hasilnya, beliau berkata Suhakam telah mengadakan lawatan rasmi ke lapan kampung terbabit pada 23 dan 24 Jun lalu.

“Lawatan itu bertujuan meninjau secara langsung keadaan penduduk dan mendengar sendiri aduan serta luahan mereka mengenai notis pengusiran itu,” katanya.

Lawatan itu yang diketuai wakil Suhakam Mohd Irsyad Hamilin bersama delegasinya, disambut oleh wakil-wakil penduduk, pemimpin masyarakat dan beberapa badan bukan kerajaan yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan pengusiran yang dianggap tergesa-gesa dan tidak berperikemanusiaan itu.

Jamir menjelaskan kampung-kampung ini sudah didiami oleh komuniti yang menetap di situ sejak sebelum zaman penjajahan British lagi.

“Tanah yang telah diusahakan sejak berpuluh tahun dahulu kini menjadi pertikaian, dengan penduduk menerima notis pengusiran yang hanya memberi tempoh 30 hari untuk mengosongkan kawasan yang didakwa milik syarikat.

“Ini bukan tanah yang baru kami duduki. Ini warisan turun-temurun kami. Di sinilah kami membina kehidupan, menyara keluarga dan mencari rezeki,” kata Jamir.

Katanya, permohonan geran tanah (PT) mereka telah dikemukakan seawal 1995, namun ditolak atas alasan kawasan terbabit diwartakan sebagai Hutan Simpan.

Bagaimanapun, pada 2014, tambahnya, permohonan geran oleh syarikat itu diluluskan dalam tempoh yang singkat.

“Keadaan ini menyebabkan kami rasa terpinggir dan diusir dari tanah kelahiran nenek moyang kami,” kata Jamir dengan sedih.

Ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan keluarga mereka, terutamanya golongan warga emas dan kanak-kanak yang tidak tahu ke mana harus dituju jika pengusiran diteruskan.

Setakat ini, Jamir berkata tiada tindakan diambil oleh syarikat itu untuk melaksanakan notis pengusiran itu yang sudah pun berakhir pada 7 Jun lalu.

Sementara itu, Suhakam, dalam kenyataan awalnya, menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran hak asasi manusia, khususnya hak terhadap tempat tinggal, kehidupan bermaruah dan keadilan prosedur.

Suhakam juga menekankan sebarang tindakan pengusiran perlu mematuhi prinsip hak asasi dan undang-undang negara.

Suruhanjaya itu berkata dapatan daripada lawatan itu akan dimasukkan ke dalam laporan siasatan awal dan dibentangkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan susulan, termasuk kepada Kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan syarikat terbabit.

Dalam pada itu, Jamir berkata penduduk berharap suara mereka didengar dan hak mereka dipertahankan.

“Kami menuntut satu penyelesaian yang adil dan bermaruah agar tidak berlaku penganiayaan terhadap komuniti luar bandar yang sering terpinggir.

“Oleh itu, kami menggesa Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar campur tangan dan mengambil langkah bijak untuk menyelasaikan masalah ini.