Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit, bayaran RM10.4 bilion tertinggi sejak penubuhan

LocalBusiness & Finance
19 Dec 2025 • 2:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit, bayaran RM10.4 bilion tertinggi sejak penubuhan
image is not available
liza19/12/2025 - 14:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM10.4 bilion itu akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB yang menjadi jumlah pengagihan tahunan tertinggi pernah dibayar sejak penubuhan dana berkenaan.

 

ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding tahun kewangan 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran. 

 

Jurang daya saing ASB berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata 2.29%, telah meningkat kepada 346 mata asas.

 

Prestasi pengagihan dividen yang kukuh ini dicapai dalam persekitaran pasaran ekuiti domestik yang mencabar, apabila FBM KLCI mencatat pulangan harga sebanyak -0.3% setakat tahun 2025.

 

Pasaran tempatan turut terkesan akibat aliran keluar dana asing dan sentimen pelabur yang berhati-hati, meskipun asas ekonomi Malaysia kekal positif dengan pertumbuhan KDNK 2025 dijangka antara 4.0% hingga 4.8%.

 

PNB memaklumkan pengukuhan ekonomi turut disokong oleh kemasukan pelaburan yang ketara serta peningkatan nilai Ringgit Malaysia sebanyak 8.7% kepada RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat.

 

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata PNB berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan pendapatan ASB pada kadar 5.75 sen seunit dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion.

 

Menurut beliau, jumlah itu menjadikan pengagihan pendapatan kumulatif ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan dana berkenaan sepanjang lebih 46 tahun penubuhannya.

 

“PNB menyedari cabaran berkaitan kekurangan simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan merancang untuk mempergiat usaha literasi kewangan bagi memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh merentas generasi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain ASB, ASNB turut mengagihkan dividen berjumlah RM15.3 bilion bagi tahun 2025 yang merupakan jumlah tertinggi pernah dicatat, menjadikan keseluruhan pengagihan sejak penubuhannya mencecah RM279 bilion.

 

Pengagihan tersebut mencerminkan prestasi positif dan konsisten merentasi semua 18 dana unit amanah ASNB, termasuk dana harga tetap seperti ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM), serta dana harga berubah-ubah seperti ASN Equity, ASN Imbang dan ASN Sara.

 

PNB memaklumkan kadar pengagihan bagi dana harga tetap ASNB meningkat dari tahun ke tahun dan terus mengekalkan jurang yang sihat berbanding purata kadar Deposit Tetap 12 Bulan.

 

Pada masa sama, dana harga berubah-ubah ASNB turut mencatat prestasi kukuh dengan kesemua dana mengatasi penanda aras masing-masing.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata prestasi kukuh itu dicapai ketika kumpulan memasuki tahun kedua pelaksanaan Pelan Strategik LEAP-6 PNB.

 

Menurut beliau, PNB mencatat prestasi memberangsangkan dalam meningkatkan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan kepada pemegang unit serta memperkukuh modal sekali gus meningkatkan aset di bawah pengurusan sebanyak 4.5% kepada RM364 bilion.

 

Jumlah pemegang akaun unik ASNB pula kekal stabil pada 13 juta, disokong oleh pertambahan kasar sebanyak 560,000 akaun baharu sepanjang tahun.

 

Menjelang 2026, PNB akan mempergiat usaha meningkatkan simpanan rakyat Malaysia melalui kempen #KitaGenerasiLabur, inisiatif simpanan berkala digital Auto Labur dan Pandu Impianmu, selain memperkenalkan kaedah pembayaran zakat berasaskan khultah menggunakan pendekatan Al-Mustaghallat bermula suku kedua 2026.

 

Pengiraan pengagihan pendapatan ASB adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut, dengan unit pelaburan semula akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.

 

Urus niaga ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025 sebelum disambung semula mulai 1 Januari 2026 bagi saluran digital dan 2 Januari 2026 di semua cawangan dan ejen ASNB. - DagangNews.com

Terkini featured standard