Diyat: Keadilan untuk waris mangsa pemandu mabuk

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 6:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Malaysia boleh mengadaptasi model hibrid diyat yang menggabungkan kekuatan sistem insurans, dana awam dan tanggungjawab individu ke dalam akta pengangkutan jalan sedia ada.

SETIAP kali nyawa diragut akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol, reaksi masyarakat hampir seragam; marah, kecewa dan menuntut keadilan.

Malaysia telah mengambil langkah tegas melalui pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tahun 2020, dengan hukuman lebih berat termasuk penjara hingga 20 tahun, denda hingga RM150,000 serta penggantungan lesen bagi kesalahan menyebabkan kematian.

Namun, di sebalik ketegasan hukuman jenayah ini, satu persoalan asas masih belum dijawab: Apakah nasib waris yang kehilangan pencari nafkah, tempat bergantung dan sumber sokongan emosi?

Jurang dalam sistem sedia ada

Data rasmi kerajaan menunjukkan bahawa kematian akibat pemandu mabuk hanya membentuk peratusan yang kecil daripada jumlah keseluruhan kematian jalan raya iaitu kurang 0.5 peratus sejak 2022.

Bagaimanapun, setiap satu kes membawa implikasi yang amat besar kepada keluarga terlibat dan mutakhir ini beberapa insiden tragik kembali menghangatkan tuntutan supaya hukuman bukan sahaja menghukum pelaku, tetapi turut memulihkan kehidupan mangsa.

Dalam kerangka semasa, keadilan terhadap mangsa lebih tertumpu kepada aspek menghukum pelaku. Pampasan kepada waris pula tidak berlaku secara automatik.

Ia lazimnya memerlukan tindakan sivil berasingan atau bergantung kepada tuntutan insurans yang sering kali memakan masa panjang, melibatkan kos guaman, dan tidak menjamin hasil yang mencukupi.

Di sinilah wajar dipertimbangkan satu pembaharuan yang diinspirasikan daripada konsep diyat. Dalam fiqh jenayah Islam, kematian akibat kecuaian (termasuk qatl al‑khata’) mewajibkan pembayaran diyat sebagai pampasan kepada waris mangsa.

Pendekatan ini memberi penekanan kepada keadilan pemulihan iaitu memastikan darah mangsa tidak menjadi sia‑sia dan keluarga tidak dibiarkan menanggung beban keseorangan selepas tragedi.

Mekanisme perlindungan lebih menyeluruh

Konsep ini boleh diterjemah dalam bentuk yang sesuai dengan kerangka undang‑undang masyarakat majmuk tanpa menggunakan istilah agama secara literal.

Sebagai contoh, negara boleh memperkenalkan suatu Skim Pampasan Mandatori Mangsa Kemalangan Maut Akibat Kecuaian Berat yang berfungsi sebagai diyat, satu bentuk pampasan wajib yang diarahkan terus kepada waris mangsa apabila sabitan kesalahan dibuat.

Pampasan tersebut boleh distrukturkan secara berperingkat berdasarkan umur mangsa, jumlah tanggungan keluarga, pendapatan yang hilang dan tahap kecuaian pelaku, selari dengan prinsip pengiraan kerugian dalam undang‑undang sivil dan insurans.

Selain itu, satu had minimum pampasan statutori boleh ditetapkan bagi kes kematian, agar waris tidak menerima jumlah yang terlalu rendah akibat kekangan teknikal atau litigasi.

Pelaksanaannya boleh dilakukan melalui beberapa mekanisme saling melengkapi.

Pertama, mahkamah jenayah boleh diberi kuasa menjatuhkan “hukuman dua serentak” iaitu hukuman penjara dan penggantungan lesen seperti sedia ada, disertai perintah pampasan mandatori kepada waris mangsa.

Kedua, satu Tabung Nasional Pampasan Mangsa Jalan Raya boleh diwujudkan hasil gabungan sumbangan kerajaan, caruman wajib industri insurans/takaful dan sebahagian denda yang dibayar pesalah.

Tabung akan membayar pampasan kepada waris terlebih dahulu, sebelum mendapatkan semula jumlah tersebut daripada pesalah atau pihak insurans. Ini memastikan kebajikan mangsa didahulukan tanpa menjejaskan prinsip tanggungjawab pesalah.

Perbandingan dengan negara lain

Beberapa negara telah mengamalkan pelbagai bentuk skim pampasan mandatori kepada mangsa jenayah dan kemalangan, meskipun tidak menamakannya sebagai diyat.

Jepun misalnya mempunyai kerangka “compulsory automobile liability insurance” (CALI) di bawah akta berkaitan yang memastikan mangsa kemalangan jalan raya menerima pampasan minimum, dengan hak tuntutan balas terhadap pesalah/penanggung insurans.

Di beberapa negara Eropah seperti Jerman, dana pampasan mangsa jenayah turut memainkan peranan yang sama, manakala di Arab Saudi dan UAE, unsur diyat itu sendiri diinstitusikan dalam undang‑undang mereka dalam kes kematian atau kecederaan serius.

Bagi Malaysia sebagai negara majmuk, penerapan diyat ini wajar difahami sebagai instrumen keadilan sosial yang bersifat universal iaitu suatu bentuk pampasan sivil mandatori yang boleh dinikmati semua tanpa mengira agama.

Dengan itu, Malaysia boleh mengadaptasi model hibrid diyat yang menggabungkan kekuatan sistem insurans, dana awam dan tanggungjawab individu ke dalam akta pengangkutan jalan sedia ada.

Akhirnya, memperkenalkan skim diyat bukan sahaja akan memperkukuh keadilan kepada waris mangsa, malah meningkatkan keyakinan awam bahawa sistem perundangan negara berfungsi secara menyeluruh iaitu menghukum dengan tegas, dan pada masa yang sama, memulihkan dengan adil.

*Mohamad Izzat Tuan Ibrahim ialah Penyelidik Yayasan Strategik Lestari (YSL).

View Original Article