DJ Dave terima hadiah pakej kesihatan jantung bernilai lebih RM20,000 selepas derma RM10,000 kepada pertubuhan agama
zulfadli
30/01/2024 - 17:38
KUALA LUMPUR 30 Jan - Penyanyi dan penulis lagu veteran, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave bermurah hati menyumbang kembali hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 kepada lima pertubuhan keagamaan dan seterusnya menerima ganjaran pakej kesihatan jantung daripada RENN Asia Wellness bernilai lebih RM20,000.
Kelab Rotary Ara Damansara (RCAD) memaklumkan, pihaknya sama sekali tidak menyangka Dave akan menyumbangkan hadiah wang tunai tersebut kepada pihak surau serta badan amal yang dikendalikan gereja, kuil Buddha, kuil Hindu dan gurdwara Sikh.
"Lebih menarik, Dave dikejutkan kembali dengan hadiah yang lebih bernilai daripada penaja, RENN Asia Wellness.
"RCAD menganugerahkan Dave atas peranan beliau yang membanggakan dalam projek yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menghasilkan sebuah lagu perpaduan berjudul 'Setia Perpaduan'," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, Dave menerima Anugerah Special Award for RCAD di majlis pelantikan dan makan malam yang ke-7 kelab tersebut baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, Setia Perpaduan merupakan lagu bertemakan perpaduan, digubah atas seruan Agong untuk menghasilkan sebuah lagu patriotik yang menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat.
"Lagu yang menampilkan 13 artis dari pelbagai bangsa dan dinyanyikan dalam pelbagai bahasa dan dialek, mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia yang bersatu," katanya.

Sementara itu, Presiden RCAD, David Cheah Yik Qin berkata, apabila RENN Asia Wellness mengetahui sumbangan Dave itu, mereka memutuskan untuk membalas budi beliau.
"Dave seorang yang pemurah, oleh itu, penaja kami membuat kejutan kepada beliau dengan menghadiahkan pakej kesihatan jantung bernilai RM20,888 sepanjang setahun. Kami berterima kasih kepada penaja kami, RENN Asia Wellness atas sokongan bermakna ini," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif RENN Asia Wellness, Jonathan Chew pula berkata, usaha Dave dalam menggubah dan memimpin projek lagu perpaduan kebangsaan itu cukup mengagumkan dan wajar menerima anugerah.

"Kami memutuskan untuk menghadiahkan pakej kesihatan jantung premium kami yang merangkumi 'arterial stiffness analysis', profil DNA dan juga rawatan EECP selama setahun serta pasukan kesihatan khas," katanya.
Dave turut meluahkan rasa bangga dan tidak menyangka menerima anugerah tersebut, serta berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjalani kehidupan muhibbah sebagai rakyat Malaysia sejati.
"Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya akan mendermakan wang tunai ini kepada pelbagai badan kebajikan sebagai tanda perpaduan," katanya.
Katanya, sumbangan tersebut diagihkan kepada lima pertubuhan keagamaan, yang mana setiap organisasi akan menerima sejumlah RM2,000. - DagangNews.com


