DJ Lin Kekal Unggul, Sekali Lagi Diiktiraf Sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai Pilihan Pembaca Readers’ Digest

12 Jun 2023 • 8:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
DJ Lin sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia - Gambar ihsan Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands

Setelah lebih 24 tahun berada dalam industri radio tanah air, pengurus besar juga penyampai radio Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia dalam anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini. 

image is not available

Menurut DJ Lin yang popular menerusi segmen Suria Cinta, beliau bersyukur dan menganggap pengiktirafan tersebut sebagai bukti dirinya masih relevan meskipun berdepan kedatangan muka baharu dalam industri penyiaran radio.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada Reader’s Digest buat kali ketiga. Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana setelah lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai. 

“Terima kasih buat pihak penganjur, majalah antarabangsa, Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan-rakan media, para peminat dari seluruh negara, juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang Penyampai Radio,” katanya.

image is not available
Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai bagi tahun ini merupakan anugerah ke-13 buat DJ Lin

Menurut DJ Lin  lagi, dengan pengiktirafan ini beliau akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya buat pendengar setia segmen Suria Cinta dan beliau mengucapkan ribuan terima kasih buat para pendengar yang sentiasa menyokong Suria FM.

Lebih menarik, anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai bagi tahun ini merupakan anugerah ke-13 buat DJ Lin. 

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang telah dipilih daripada 5 negara antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan. – Getaran, 12 Jun 2023