DKSH naik taraf pusat inovasi di Malaysia perkukuh kapasiti formulasi makanan & penjagaan diri serantau

06/08/2025 - 14:20
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 6 Ogos – DKSH memperkukuh komitmennya terhadap pasaran Malaysia dengan menaik taraf pusat inovasi miliknya di Petaling Jaya, yang kini berperanan sebagai hab pembangunan formulasi untuk industri makanan & minuman serta penjagaan diri di rantau Asia Tenggara.
Pusat inovasi berteknologi tinggi itu dilengkapi makmal khusus untuk membangunkan produk makanan manis dan berperisa, serta kosmetik dan penjagaan peribadi berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin berkembang dan keperluan kelestarian industri.
Naib Presiden Global Industri Penjagaan Diri DKSH, Michelle Delac berkata, pusat itu membolehkan pihaknya mencipta formulasi penjagaan diri berimpak tinggi dengan lebih cepat dan efisien.
“Dengan keupayaan formulasi yang dipertingkatkan, kami membantu rakan niaga menghasilkan penyelesaian yang lebih pantas dan berkesan, bersesuaian dengan cita rasa pelbagai segmen pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pusat inovasi itu menyediakan kepakaran dalam formulasi pelbagai aplikasi termasuk penjagaan kulit, rambut, badan, mulut serta kosmetik berwarna dan penjagaan rumah.
Ia turut menempatkan peralatan khas bagi menilai tekstur, kestabilan dan prestasi produk.
Bagi sektor makanan & minuman pula, makmal tersebut menyokong pembangunan produk dengan kelebihan dari segi ciri sensori, prestasi fungsi dan jangka hayat, termasuk dalam pencampuran ramuan serta penghasilan prototaip pelbagai format akhir.
Pengurus Besar DKSH Malaysia dan Singapura, Kok Wei Goh pula berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen DKSH untuk memperkukuh inovasi bersama pelanggan.
“Kami bukan sahaja memperluas keupayaan formulasi dan aplikasi, malah memperkukuh keupayaan kami mencipta bersama pelanggan untuk membantu mereka berinovasi dengan lebih pantas, bijak dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Global Bahan Ramuan Makanan & Minuman DKSH, Cesar Saez pula menyifatkan pusat itu akan mempercepatkan pengkomersialan inovasi tempatan dan serantau.
“Fokus kami adalah untuk mencipta formulasi makanan dan minuman berasaskan cita rasa pasaran Asia, dengan kecekapan pembangunan yang tinggi,” katanya.
Pusat ini menjadi sebahagian daripada rangkaian global DKSH merangkumi 58 pusat inovasi yang menyokong industri melalui penyelidikan formulasi, pematuhan peraturan dan pembangunan mampan.
DKSH yang beribu pejabat di Switzerland kini beroperasi di 36 lokasi global dengan kira-kira 28,000 tenaga kerja dan menjana jualan bersih CHF11.1 bilion pada 2024.
Unit Perniagaan Bahan Prestasi mencatat jualan CHF1.4 bilion dengan fokus terhadap industri makanan, penjagaan peribadi, farmaseutikal dan bahan kimia khas.- DagangNews.com
standard
