DKSH pasarkan produk kentang sejuk beku Iscon Balaji Foods di Malaysia
diyana
12/03/2024 - 14:41
KUALA LUMPUR 12 Mac - DKSH Holdings (Malaysia) Bhd menerusi unit perniagaan barangan penggunanya telah menjalin kerjasama dengan pengeluar produk berasaskan kentang di India, Iscon Balaji Foods bagi memperluaskan pemasaran produk di Malaysia Barat.
Di bawah perjanjian itu, DKSH Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran penuh, termasuk pemasaran dan jualan, pengedaran dan logistik, serta kredit dan kutipan merentasi pelbagai saluran pengedaran, seperti hotel, restoran, kafe, dan pelbagai kedai perkhidmatan makanan.
Rangkaian produk Iscon Balaji Foods yang diperakui halal itu akan diedarkan oleh DKSH merangkumi pelbagai kentang goreng sejuk beku Pommetos mereka.
Wakil Negara Iscon Balaji Foods, Devan melahirkan rasa terujanya tentang perkongsian baharu itu dan yakin terhadap keupayaan DKSH Malaysia.
“Kami yakin sepenuhnya terhadap kehadiran serantau DKSH yang mantap, rangkaian pengedaran yang luas dan tenaga jualan berpengalaman, yang sudah pasti akan meningkatkan jejak komersial jenama kami dan pengembangan yang berterusan di pasaran ini,” ujar beliau dalan satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Barangan Pengguna Bergerak Pantas DKSH Malaysia, Daniel Schwalb menambah bahawa kerjasama tersebut dijangka membentuk sinergi kepakaran dan sumber kumpulan untuk meningkatkan pemasaran produk Iscon Balaji Foods merentasi industri perkhidmatan makanan.
“Objektif bersama kami adalah untuk mewujudkan penanda aras baharu, memastikan pengguna Malaysia menikmati akses kepada kepelbagaian pilihan kentang goreng yang akan memperkayakan perjalanan masakan mereka,” ujar beliau. - DagangNews.com

