DNB, Ericsson lancar program latihan 5G, AI dan IoT untuk 40,000 penjawat awam seluruh negara

LocalTechnology
18 Sep 2025 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNB, Ericsson lancar program latihan 5G, AI dan IoT untuk 40,000 penjawat awam seluruh negara

image is not available

18/09/2025 - 12:53

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Digital Nasional Berhad (DNB) dengan kerjasama Ericsson melancarkan program ‘DNB-Ericsson Educate 21st Century Technologies’, satu inisiatif peningkatan kemahiran berskala besar yang menyasarkan 40,000 kakitangan kerajaan dan majlis perbandaran di seluruh negara.

Program ini ditawarkan secara percuma dan bertujuan memperkukuh keupayaan digital Malaysia, selain menyokong aspirasi menjadi negara berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

Melalui kursus interaktif dalam talian yang mesra peranti mudah alih, peserta akan didedahkan kepada modul ringkas dan kendiri berasaskan kepakaran global Ericsson dalam teknologi generasi baharu seperti 5G, AI, IoT dan automasi.

Antara tarikan utama ialah simulasi ‘Connected City’ yang membolehkan peserta menyelesaikan cabaran sebenar berkaitan kesalinghubungan bandar.

Fasa pertama akan memfokuskan kepada kakitangan barisan hadapan di majlis bandar raya dan perbandaran, bagi membolehkan mereka melaksanakan strategi berteraskan digital yang inklusif serta menyokong matlamat pembangunan bandar pintar negara.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, Malaysia berada pada kedudukan unik untuk menjadi peneraju AI rantau ini dengan sokongan rangkaian 5G bertaraf dunia, pelaburan pusat data serta infrastruktur awan yang semakin maju.

“Namun teknologi sahaja tidak mencukupi. Tenaga kerja kerajaan merupakan pemacu kritikal kepada aspirasi ini.

“Oleh itu, Ericsson berbangga dapat bekerjasama dengan DNB dalam program ini, bagi melengkapkan kakitangan sektor awam dengan kemahiran untuk merealisasikan visi digital Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail pula berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membina Malaysia yang bersedia menghadapi masa depan.

“Dengan menggabungkan kekuatan peneraju teknologi global dan institusi tempatan, kami sedang meletakkan asas untuk bandar berkuasa AI, ekosistem digital inklusif dan sektor awam yang berkemahiran.

“Kita tidak lagi membayangkan masa depan, sebaliknya kita yang sedang membinanya bersama-sama,” katanya.

Inisiatif itu turut melengkapi program pembangunan bakat digital sedia ada untuk pelajar universiti, selain memperkukuh kerjasama strategik DNB dan Ericsson dalam membangunkan infrastruktur 5G bertaraf dunia di seluruh negara. - DagangNews.com

standard