DNeX, Korea Trade Network bekerjasama laksana transformasi industri kemudahan perdagangan

Business & Finance
7 Mar 2024 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNeX, Korea Trade Network bekerjasama laksana transformasi industri kemudahan perdagangan

diyana

07/03/2024 - 18:05

KUALA LUMPUR 7 Mac - Dagang NeXchange Bhd melalui anak syarikatnya, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. (DNT) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Korea Trade Network (KTNET) bagi melaksanakan transformasi industri kemudahan perdagangan.

Penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) itu berkata, MoU tersebut bertujuan untuk menyokong dan bekerjasama dalam beberapa inisiatif melibatkan sistem komuniti pelabuhan, kastam elektronik dan perkhidmatan perundingan IT di bawah bidang kemudahan perdagangan.

KTNET merupakan pengendali infrastruktur perdagangan tanpa kertas yang melaksana dan mengendali platform uTradeHub untuk semua perniagaan dalam perdagangan antarabangsa dengan kerjasama kerajaan Korea Selatan.

Dengan memanfaatkan pengalaman tersebut, KTNET telah berjaya melaksanakan sistem e-kastam di negara-negara lain.

Menerusi kerjasama ini, DNT dan KTNET akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam mengubah landskap digital dan teknologi industri kemudahan perdagangan dan fungsi berkaitan.

“MoU ini akan berkuat kuasa pada tarikh ia ditandatangani dan akan terus berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun. Kedua-dua pihak boleh melanjutkan tempoh melalui persetujuan bertulis,” kata DNeX dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

DNeX berkata, MoU tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan juga tidak menjangkakan pendapatan sesahamnya terkesan.

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama itu bertujuan untuk bersama-sama membangunkan perkhidmatan kemudahan perdagangan dengan ciri yang dipertingkatkan, memanfaatkan teknologi dan keupayaan kedua-dua pihak untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti keseluruhan ekosistem perdagangan.

“Ini membolehkan kami bekerjasama dengan KTNET untuk mempercepatkan transformasi ekosistem perdagangan, memanfaatkan keupayaan, keluasan dan kedalaman tawaran dan teknologi, serta disokong oleh rekod prestasi kami yang terbukti," tambahnya.

Saham DNeX ditutup tinggi 1 sen atau 2.9% pada 36 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM1.1 bilion. - DagangNews.com