DNeX lancar AI generasi baharu tingkat kecekapan mesyuarat

Business & Finance
25 May 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DNeX lancar AI generasi baharu tingkat kecekapan mesyuarat
Dagang NeXchange Berhad (DNeX).

KEUPAYAAN menghasilkan minit mesyuarat, ringkasan perbincangan dan tugasan secara automatik hanya melalui rakaman perbualan menjadi antara nilai tambah platform kecerdasan buatan (AI) baharu, XWHIZ yang dilancarkan Dagang NeXchange Berhad (DNeX) bagi membantu organisasi meningkatkan produktiviti operasi.

XWHIZ melangkaui fungsi transkripsi biasa dengan memanfaatkan AI termaju untuk mengesan dan menjana minit mesyuarat secara tepat, merekod tugasan penting serta memantau produktiviti keseluruhan pasukan.

Dibangunkan untuk persekitaran kerja hibrid dan pelbagai masa kini, XWHIZ menawarkan keupayaan dwibahasa yang mampu mentranskripsikan Bahasa Melayu termasuk pelbagai loghat tempatan dan Bahasa Inggeris secara lancar, selain boleh diterjemahkan kepada lebih 50 bahasa termasuk Mandarin, Sepanyol, Hindi dan Arab.

Platform tersebut juga turut dilengkapi teknologi pengecaman suara yang mampu mengenal pasti peserta mesyuarat berdasarkan cap suara unik masing-masing bagi memastikan ringkasan dan tugasan dikaitkan secara tepat kepada individu terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Shiraz Ramli berkata, pelancaran XWHIZ bukan sekadar memperkenalkan produk AI baharu, tetapi menjadi pencapaian strategik dalam evolusi DNeX IT daripada integrator sistem dan penyedia infrastruktur digital nasional kepada pencipta serta pemilik harta intelek digital dan platform AI berskala besar.

Menurutnya, suite produktiviti itu bertindak sebagai 'Chief of Staff' digital pintar yang mendengar, menyusun dan merekod perkara paling penting dalam mesyuarat.

“Dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan teknikal dalaman kami, penyelesaian tempatan ini direka untuk memastikan aliran kerja operasi lebih lancar dan membantu organisasi mencapai tahap produktiviti, kolaborasi dan keberkesanan pelaksanaan yang maksimum.

“Dengan merapatkan jurang bahasa dan integrasi lancar merentasi ekosistem perisian, ia membolehkan pasukan bekerja dengan lebih pintar serta beroperasi pada tahap produktiviti optimum,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shiraz berkata, XWHIZ dibangunkan dan digunakan sepenuhnya dalam negara dengan sokongan pemasangan dalaman di infrastruktur pelanggan bagi memastikan audio mesyuarat, transkrip dan data yang dijana tidak keluar daripada persekitaran organisasi.

Katanya, platform tersebut juga direka mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) selain mengurangkan kebergantungan kepada penyedia awan asing dalam pemprosesan AI.

"XWHIZ dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan jangka panjang DNeX IT bermula tahun ini menerusi pengukuhan portfolio penyelesaian proprietari syarikat serta pengembangan ke bidang pertumbuhan tinggi seperti Sovereign AI, automasi pintar dan penyelesaian produktiviti perusahaan," katanya.

Tambah beliau, ASEAN kini memasuki fasa baharu penggunaan AI apabila organisasi mula mengintegrasikan teknologi itu dalam operasi harian bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“Dalam sektor berkepercayaan tinggi, persoalan utama bukan lagi sama ada organisasi akan menggunakan AI, tetapi bagaimana penggunaan itu dapat dilakukan sambil mengekalkan pemilikan data, kecerdasan dan kedaulatan digital," katanya.