DNeX peroleh kontrak RM18 juta bangunkan platform tetingkap tunggal maritim

19 Oct 2023 • 9:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNeX peroleh kontrak RM18 juta bangunkan platform tetingkap tunggal maritim

diyana

19/10/2023 - 09:26

KUALA LUMPUR 19 Okt - Dagang Nexchange Bhd (DNeX) telah memperoleh kontrak bernilai RM18.08 juta daripada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk pelaksanaan sistem tunggal maritim Malaysia (MMSW) untuk Kementerian Pengangkutan.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, DNeX berkata anak syarikatnya Dagang Net Technologies Sdn Bhd ditugaskan untuk membekal, memasang, membangun, mengkonfigurasi, menyepadukan, memindahkan, menguji, mentauliahkan, menyelenggara dan melaksanakan fasa satu MMSW.

MMSW merupakan platform digital bersatu bagi memudahkan perkhidmatan perdagangan dan perkapalan di peringkat nasional.

PKA dilantik sebagai agensi pelaksana untuk menjalankan fasa satu sistem MMSW bagi pihak Kementerian Pengangkutan.

Menurut DNeX, tempoh projek MMSW adalah untuk tempoh 42 bulan atau tiga setengah tahun bermula 23 Oktober 2023 hingga 22 April 2027.

Platform pusat akan dibangunkan untuk memudahkan aliran maklumat secara menyeluruh, yang seterusnya akan berfungsi sebagai portal sehenti melalui satu log masuk dan penyerahan tunggal untuk urus niaga kawal selia maritim dan perkhidmatan pelabuhan.

Menurut Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pembangunan MMSW akan melengkapkan Tetingkap Tunggal Nasional (NSW) sedia ada untuk kemudahan perdagangan yang dikendalikan oleh Dagang Net dan TradeSwift Dagangnet yang dilancarkan baru-baru ini.

image is not available
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

“Pembangunan aplikasi maritim yang diperkemas akan mengurangkan masa pelepasan kargo dan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan daya saing dan kecekapan rangkaian perdagangan negara yang akan mewujudkan nilai untuk pemain industri dan agensi kerajaan,” katanya.

Syarikat itu berkata ia merupakan inisiatif transformasi utama yang mengintegrasikan teknologi termaju dan pendigitalan ke platform baharu yang menawarkan antara muka mesra pengguna yang dipertingkatkan untuk meningkatkan kecekapan pelabuhan.

Selanjutnya, ia memenuhi kewajipan ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dengan objektif utama untuk mempromosikan perkapalan yang selamat, terjamin, mesra alam, cekap dan mampan melalui kerjasama.

NSW membolehkan penyerahan dokumen perdagangan kawal selia secara elektronik manakala MMSW menguruskan penyerahan dokumen perdagangan lain yang diperlukan dalam domain maritim dan disepadukan dengan NSW.

MMSW bertujuan untuk memudahkan dan mempercepatkan prosedur pentadbiran untuk meningkatkan kecekapan dan meningkatkan komunikasi dalam domain maritim, mengurangkan pertindihan kemasukan data dan proses berasaskan kertas. - DagangNews.com