Doakan syarikat lingkup, fikir dulu ribuan perut perlu diisi

LocalOpinion
20 May 2026 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Doakan syarikat lingkup, fikir dulu ribuan perut perlu diisi
Apabila sebuah syarikat itu ditutup, yang terjejas bukan seorang dua, tetapi ratusan malah ribuan pekerja. Foto hiasan

MERAK Jalanan tengok ramai sekarang ini yang suka tengok perniagaan sesebuah syarikat itu jatuh tersungkur. Bila ada perkara yang tidak menepati kehendak seperti servis kurang memuaskan, mulalah mengutuk di media sosial.

"Biar lingkup saja syarikat itu, padan muka.” Itu antara komen yang Merak Jalanan jumpa di media sosial melibatkan sebuah syarikat tempatan yang sedang bertungkus-lumus bertahan dalam ekonomi tidak menentu sekarang. Seolah-olah penutupan syarikat itu satu bentuk hiburan.

Lainlah kalau syarikat itu terlibat perniagaan haram.

Orang yang mengutuk ini mungkin tidak sedar, apabila sebuah syarikat itu ditutup, yang terjejas bukan seorang dua, tetapi ratusan malah ribuan pekerja. Ada yang baru mula bekerja, ada yang sudah berbelas tahun mencari rezeki di situ.

Mereka bukan anak orang kaya yang boleh terus hidup tanpa gaji bulan depan. Mereka ada anak yang perlu makan, ada ibu bapa yang perlu ditanggung, ada sewa rumah, bil elektrik dan ansuran kereta yang perlu dibayar.

Kadang-kadang netizen hanya nampak logo syarikat tetapi tidak nampak manusia di belakangnya. Seorang kerani mungkin sedang menyara keluarga, seorang pengawal keselamatan mungkin sedang membayar yuran universiti anak dan seorang pekerja am mungkin satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga. Bila syarikat lingkup, kesannya bukan syarikat itu sahaja tetapi merebak ke dapur rumah.

Tidak salah menegur kelemahan syarikat kerana pengguna berhak marah jika layanan buruk atau mutu perkhidmatan mengecewakan.

Nasihat Merak Jalanan, sebelum seronok mendoakan satu-satu syarikat itu gulung tikar, fikir dulu berapa ramai yang akan kelaparan nanti.

View Original Article