DOC2US meterai perjanjian dengan Institut Sukan Negara sokong kesihatan mental atlet negara

Health & Fitness
29 Aug 2023 • 2:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DOC2US meterai perjanjian dengan Institut Sukan Negara sokong kesihatan mental atlet negara

diyana

29/08/2023 - 14:26

KUALA LUMPUR 29 Ogos - DOC2US telah memeterai perjanjian dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menyediakan penjagaan kesihatan yang saksama, mudah diakses dan holistik kepada atlet negara.

Dalam satu kenyataan media hari ini, penyedia kesihatan digital dan e-preskripsi itu berkata akses kepada sokongan kesihatan mental dan fizikal tambahan akan disediakan menerusi program kesihatan hibrid baharu yang diperkenalkan oleh ISN dan DOC2US.

Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengasas Bersama DOC2US, Dr Raymond Choy berkata disebabkan sifat amalan mereka, atlet amat terdedah kepada tekanan mental dan pelbagai masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan, kegelisahan dan kes lain yang lebih serius.

“Ini semua selain dari masalah kesihatan fizikal yang menjadi lumrah dalam industri sukan. Usaha kerjasama ini adalah satu langkah ke hadapan untuk menangani cabaran tersebut," katanya.

Menurut Raymond, program berkenaan, yang telah beroperasi sejak Sukan SEA pada Mei 2023, menyediakan penjagaan kesihatan hibrid, secara fizikal dan maya, melalui aplikasi teknologi kesihatan digital.

Beliau berkata perkhidmatan yang disediakan untuk atlet negara melalui program ini termasuk khidmat nasihat kesihatan maya percuma, telekonsultasi dan e-preskripsi, serta sokongan kesihatan di rumah oleh profesional perubatan yang diluluskan oleh lembaga.

Platform kesihatan mental DOC2US yang dikuasakan oleh TeleHope Health, juga membolehkan para atlet mengakses perkhidmatan kesihatan mental seperti penapisan kesihatan mental, nasihat kesihatan mental percuma dan telekonsultasi dengan pakar psikiatri dan psikologi yang berlesen dari TeleHope Health.

Pegawai Kesihatan Mental Utama TeleHope Health, Dr Aw Tsung Wai berkata kesihatan mental merupakan cabaran yang lebih ketara bagi atlet yang sentiasa berada dalam persekitaran pertandingan yang kompetitif dan penuh tekanan dalam kehidupan harian mereka.

"Pendekatan kesihatan hibrid memudahkan atlet mengakses penjagaan kesihatan dan menggalakkan mereka memperoleh bantuan dengan mudah. Mengambil langkah pertama akan meningkatkan hasil kesihatan dan malah memberi kekuatan kepada orang lain untuk mengikut jejak,” ujar beliau. - DagangNews.com