SHAH ALAM - “Saya masih ingat doktor berulang kali bertanya kepada saya, ‘Awak merokok ke?’ Barulah saya faham soalan itu kerana doktor menyangka saya merokok disebabkan keadaan paru-paru yang rosak.”
Demikian luahan hiba seorang suri rumah, Nor Azura Rasid, 33, mengenai penderitaannya sebagai perokok pasif dan penghidap asma kronik sejak kecil akibat faktor keturunan.
Menurut Azura, keadaan kesihatannya sering tidak stabil berpunca daripada asap rokok memandangkan arwah bapanya dan abang merupakan perokok tegar.
Malah, kedua-dua insan tersayang itu meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Benarlah kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa merokok boleh menyebabkan serangan jantung.
“Kesan asap rokok memberi impak sangat buruk terhadap kesihatan,” katanya.
Titik penderitaannya bermula pada tahun 2012 apabila dia terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan asma yang teruk.
Bagaimanapun, selepas menerima rawatan pakar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, tahap kesihatannya semakin baik.
“Dulu, hendak naik tangga sekolah pun saya tercungap-cungap, kini saya sudah boleh berjoging sejauh hampir tujuh kilometer tanpa bantuan alat sedutan,” katanya lagi.
Azura kini menjadikan rokok sebagai musuh nombor satu dan nekad menjauhkan diri daripada kawasan berisiko seperti pasar malam, selain memilih pasangan yang tidak merokok.
“Saya sudah tiga tahun tidak pergi ke pasar malam kerana kawasan itu paling mudah terdedah kepada asap rokok.
“Sebagai penghidap asma kronik, saya tahu di luar sana ramai yang mahukan kawasan awam bebas asap rokok dan semoga suatu hari nanti ia dapat direalisasikan,” jelasnya.
Enggan melihat orang lain menerima nasib sama, beliau kini aktif menggunakan media sosial seperti Threads bagi menyebarkan kesedaran mengenai bahaya perokok pasif meskipun pernah dikecam hebat oleh segelintir netizen di Facebook sebelum ini.
“Saya berharap lebih ramai orang cakna terhadap kesan asap rokok kepada perokok dan orang sekeliling.
“Termasuklah lebih ramai yang lantang bersuara sama ada di media sosial atau di kawasan larangan merokok untuk menegur pelaku kesalahan ini,” ujarnya.
