
KUALA LUMPUR – Seorang doktor Malaysia berkongsi pengalaman mendebarkan apabila terpaksa memberikan rawatan kecemasan kepada seorang penumpang wanita warga emas dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Menerusi perkongsian tular di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @zuket, kejadian itu berlaku pada tahun 2019 ketika beliau dalam perjalanan pulang bersama keluarga selepas bercuti di Turkiye dan transit di Jeddah.
Menurutnya, penerbangan yang dikendalikan oleh Saudi Arabian Airlines itu penuh dengan jemaah umrah dari Malaysia.
Pada awalnya beliau menyedari seorang wanita kelihatan letih dan lesu, namun situasi bertukar cemas kira-kira empat jam selepas penerbangan apabila kru kabin membuat pengumuman meminta bantuan doktor atau jururawat kerana terdapat penumpang memerlukan rawatan segera.
Tanpa berlengah, beliau tampil memperkenalkan diri sebagai doktor selepas diminta mengesahkan kelayakan oleh kru dan juruterbang.
Keadaan Kritikal Di Udara
Rupa-rupanya pesakit adalah seorang wanita lingkungan 60-an yang mengalami sesak nafas teruk dan hampir rebah.
“Keadaan makcik itu sangat kritikal, pada bila-bila masa boleh collapse dan perlu CPR,” kongsinya.
Beliau diberikan akses kepada peralatan perubatan asas yang tersedia dalam pesawat termasuk stethoscope, branula, drip, ambubag serta beberapa ubat kecemasan seperti atropine dan adrenalin.
Ketika itu, penerbangan masih berbaki kira-kira dua jam sebelum tiba di KL. Doktor berkenaan memaklumkan kepada juruterbang bahawa pesakit berisiko tinggi untuk mengalami henti jantung dan mencadangkan pendaratan kecemasan.
Namun selepas perbincangan, dimaklumkan bahawa Kuala Lumpur International Airport (KLIA) adalah lokasi pendaratan terdekat ketika itu.
Dalam usaha menstabilkan keadaan, beliau memberikan rawatan inhaler MDI Salbutamol secara berkala serta bantuan oksigen kerana pesakit dipercayai mengalami bronchospasm.
Kebetulan, terdapat juga seorang pegawai perubatan dan jururawat hospital swasta dalam penerbangan sama yang turut tampil membantu sekiranya CPR diperlukan.
Dikejarkan Ke Hospital Putrajaya
Juruterbang kemudian menghubungi pasukan perubatan darat untuk bersiap sedia sebaik pesawat mendarat.
Sebaik tiba di KLIA, pesakit terus dibawa menaiki ambulans ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Menurut doktor itu, bacaan oksigen pesakit ketika itu hanya 87 peratus walaupun dengan bantuan oksigen penuh.
Ujian gas darah (ABG) mengesahkan pesakit mengalami severe respiratory acidosis dan beliau kemudiannya ditidurkan serta dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama enam hari.
Pesakit dirawat sebagai kes community-acquired pneumonia (CAP) dengan bronchospasm selepas disahkan negatif MERS-CoV sebelum dipindahkan ke wad biasa selama empat hari dan akhirnya dibenarkan pulang dalam keadaan stabil.
“Naik Flight Jangan Lupa Bawa Kad Hospital”
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya memuji tindakan pantas doktor berkenaan.
Seorang pengguna meninggalkan komen berseloroh agar kakitangan perubatan sentiasa membawa kad hospital setiap kali menaiki pesawat.
Doktor tersebut membalas secara santai bahawa beliau membawa kad berkenaan pada waktu itu untuk mendapatkan kadar penginapan kerajaan berhampiran KLIA.
Dalam pada itu, ramai turut mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau dan mendoakan agar diberikan ganjaran setimpal.
Beliau mengakui pengalaman tersebut jarang berlaku namun memberi kesan mendalam, malah setiap kali menaiki pesawat selepas itu pasti timbul rasa berdebar.
“Bagi petugas kesihatan, ini tentang bertindak pantas dan berdoa agar semuanya tidak menjadi lebih buruk,” katanya. – The Malaysian Update
The post Doktor Malaysia Kongsi Detik Cemas Rawat Pesakit Kritikal Dalam Penerbangan Jeddah–KL appeared first on The Malaysian Update.


