
SHAH ALAM – Golongan profesional tidak terkecuali daripada menjadi sasaran sindiket kerana pangkat dan status yang dihormati memberi kelebihan sehingga tidak menimbulkan syak sekiranya terlibat dalam aktiviti jenayah.
Juruterbang, doktor perubatan, peguam, pensyarah dan eksekutif dilihat mempunyai ‘nilai’ kepada sindiket kerana masyarakat lazimnya tidak mengaitkan golongan itu dengan dadah.
Penahanan pembantu juruterbang Malaysia di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia pada 29 Julai lalu dan seorang juruterbang dipercayai ‘akauntan’ sindiket dadah baru-baru ini membuktikan pekerja kolar putih turut menjadi sasaran sindiket dadah.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, pemilihan profesional sebagai keldai dadah bukan fenomena baharu disebabkan status golongan tersebut yang menarik perhatian sindiket dadah.
Katanya, persepsi bahawa dadah lebih sinonim dengan golongan berpendapatan rendah menyebabkan kelompok profesional kurang diberi perhatian sebagai ‘suspek berpotensi’.
“Orang menganggap golongan profesional mempunyai kerjaya hebat dan tidak bergaul dengan pengedar, sedangkan bagi sindiket, ini satu kelebihan.
“Orang paling tidak disyaki itulah yang paling berguna. Pekerjaan, pakaian atau status sosial bukan pelindung kerana apabila ditangkap, individu tersebut akan berdepan siasatan, pendakwaan dan hilang masa depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Menurut Haezreena Begum, sindiket dadah tidak merekrut golongan itu menggunakan kaedah biasa seperti media sosial, sebaliknya melalui kenalan atau individu yang bijak membaca kelemahan mangsa.
Katanya, golongan profesional yang kerap mengembara misalnya atas urusan kerja atau kebajikan dilihat mempunyai potensi cerah sebagai sasaran untuk dijadikan keldai dadah.
“Antara umpan paling mudah adalah wang apabila mangsa dipancing dengan upah lumayan dalam tempoh singkat. Dia (sindiket) akan cakap, ‘awak susah, dapat duit banyak mana? Awak tolong dan saya akan bayar (upah)’.
“Ada juga yang mendakwa sudah ‘kawtim’ (sepakat) dengan pihak berkuasa tertentu untuk memudahkan pergerakan agar mangsa mempercayai tugasan yang akan dilakukan adalah selamat,” katanya.
Beliau berkata, sindiket lazimnya akan berkawan terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat sasaran mereka menerusi orang terdekat bagi mengetahui sekiranya mangsa mempunyai masalah kewangan.
“Apabila ada tekanan wang, orang akan mencari jalan untuk mendapatkan duit. Sindiket pula buat iklan seolah-olah sah.
“Ada juga yang menggunakan kenalan profesional untuk bercerita kononnya mereka pernah terlepas (masalah kewangan) melalui cara itu,” katanya.
Jelas Haezreena Begum, wang mudah dalam jumlah besar mampu meruntuhkan pertimbangan seseorang termasuk golongan profesional terutama mereka yang mempunyai komitmen tinggi.
“Kalau satu penghantaran (bahan terlarang) dari Point A ke Point B boleh dapat (upah) RM50,000 hingga RM90,000 atau lebih, wang itu boleh digunakan untuk melangsaikan hutang atau membeli sesuatu yang diinginkan,” ujarnya.

Namun, katanya, upah yang diterima keldai dadah profesional tidak semestinya tinggi berbanding orang biasa kerana bayaran yang diberikan bergantung kepada jenis, berat dan risiko sesuatu tugasan tersebut.
“Kalau gelandangan sekalipun, jika diberikan syabu dia boleh mendapat upah. Tiada istilah golongan profesional dapat lebih,” katanya.
Tambahnya, apabila seseorang keldai dadah ditangkap, individu itu lazimnya berdepan siasatan bersendirian kerana dalangnya tidak diketahui atau sukar dikesan, lebih malang lagi upah yang diterima belum dijelaskan sepenuhnya.
“Kejayaan penghantaran pertama juga boleh mencetuskan keyakinan palsu apabila individu tersebut berasakan kegiatan itu mudah dan selamat. Daripada mencuba sekali, akhirnya menjadi keldai bersiri. Mereka lupa bahawa mereka diperhatikan.
“Rata-ratanya bukan sahaja di negara ini, tetapi seluruh dunia, biasanya golongan profesional seperti pensyarah, peguam atau pekerja sesebuah syarikat mereka ini dihormati, tetapi tidak terlalu mewah. Kehidupan mereka selesa, yang kaya biasanya ada perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kelebihan yang dimiliki golongan kolar putih itu menyebabkan mereka boleh dimanipulasi.
Katanya, bilangan keldai dadah dijangka terus meningkat susulan tekanan hidup, pertambahan populasi dan permintaan terhadap bahan sintetik yang makin meluas, selain kepelbagaian dadah di pasaran.
“Teknologi semakin berkembang dan dadah juga pelbagai. Dadah yang dahulunya mahal sekarang menjadi murah dengan kemunculan dadah baharu. Jadi ramai yang terpesona dengan tawaran dan akhirnya terperangkap,” katanya.
The post Doktor, peguam, pilot diumpan jadi keldai dadah appeared first on Kosmo Online.

