Dokumen tender perolehan babitkan 7 syarikat didakwa tipu bida diserah kepada MyCC, kata Mindef

22 Dec 2023 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dokumen tender perolehan babitkan 7 syarikat didakwa tipu bida diserah kepada MyCC, kata Mindef

johardy

22/12/2023 - 09:28

KUALA LUMPUR 22 Dis - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan dokumen berkaitan empat tender perolehan membabitkan tujuh syarikat yang terlibat dalam kegiatan menipu bida kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk tindakan lanjut.

Menurut Mindef, semua perolehan itu membabitkan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai RM20.8 juta pada 2016 dan 2020.

"Kesemua perolehan terlibat dalam siasatan ini dilaksanakan secara tender terbuka dan sebut harga mengikut tatacara perolehan ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Dan semua dokumen berkenaan dikemukakan kepada MyCC setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-Undang Mindef," menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Mindef berkata, berdasarkan rekod, empat syarikat disenaraikan terlibat dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.

"Tiga lagi syarikat terlibat dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Mindef," katanya.

image is not available

Mindef memaklumkan ia komited dalam memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan serta akan memberikan kerjasama dalam membantu proses siasatan lanjut oleh MyCC. - DagangNews.com