Dokumen, wang, barang kemas dan komputer dirampas dari rumah Teo

24 Aug 2023 • 5:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah diberitahu pada Rabu bahawa dokumen, wang, barang kemas dan komputer yang disyaki ada kaitan dengan siasatan kes Ops Water dirampas dari rumah bekas Timbalan Pengarah Air Sabah Teo Chee Kong tujuh tahun lalu.

Pegawai SPRM Raja Hamidah Raja Omar, 38, memberi keterangan, beliau ditugaskan membantu Pasukan 10 yang ditugaskan menjalankan operasi mencari di rumah suspek, Teo, bagi mengesan bukti jenayah rasuah yang disyaki dilakukannya berkaitan perolehan projek di Jabatan Air Negeri.

Hamidah berkata, operasi itu dinamakan 'Ops Water' yang dijalankan pada 4 Okt, 2016 bagi tindakan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 yang disyaki dilakukan oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah.

Beliau berkata semasa proses pencarian di rumah Teo di Jalan Lintas di sini, Teo diarah hadir dan memimpin sepanjang proses itu.

SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Hasil carian pasukan itu menemui dokumen, wang tunai, barang kemas dan komputer yang disyaki ada kaitan dengan siasatan kes Ops Water, kata saksi pendakwaan ke-42 itu.

Hamidah berkata antara dokumen yang dirampas ialah dokumen jadual bertajuk HQ List manakala dua komputer dirampas iaitu komputer Acer Aspire Z5610 dan komputer riba Acer Aspire, yang ditemui di dalam bilik bacaan, di tingkat satu rumah Teo.

Beliau mengesahkan kepada mahkamah bahawa beliau telah menyediakan borang senarai rampasan harta alih untuk dokumen dan komputer.

Ketika memberi keterangan lanjut, Hamidah berkata, tiga hari kemudian pada 7 Okt, pasukan itu merampas komputer Acer yang digunakan Teo untuk menyediakan jadual HQ List yang ditemui di dalam bilik di tingkat satu rumahnya dan beliau turut mengesahkan menyediakan borang senarai rampasan harta alih untuk komputer tersebut.

Yang dibicarakan ialah bekas Pengarah Air Negeri Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, 58, isterinya Fauziah Piut, 55, yang didakwa bersama bekas timbalan pengarah Air Negeri Lim Lam Beng, 66, atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah yang menyalahi undang-undang.

Mereka pada 29 Dis 2016 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Priskila Akwila Sinem yang mewakili Ag Mohd Tahir dan Fauziah, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau tidak ingat jumlah wang yang ditemui di dalam bilik di tingkat satu rumah Teo semasa pencarian dan rampasan dijalankan.

Saksi itu berkata, beliau tidak ingat sama ada terdapat gambar yang diambil ketika wang itu dikira di ruang tamu rumah Teo.

Sementara itu, saksi ke-36 pendakwaan, bekas jurutera air bahagian Beaufort Suhaimi Asbullah, yang dipanggil semula untuk pemeriksaan balas oleh peguam tertuduh, bersetuju dengan peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang merujuknya dengan dokumen Mahkamah Tinggi bahawa pegawai penyiasat Westmoreland tidak menyatakan dalam afidavitnya bahawa Teo Chee Kong telah berbincang dengan Lim Lam Beng berhubung formula kutipan 27.5 peratus daripada kontraktor seperti yang dinyatakan dalam kenyataan saksinya.

Suhaimi, yang merupakan pengarah Jabatan Air Sabah sekarang, bersetuju dengan cadangan Tan mengenai apa yang dinyatakan oleh Westmoreland bahawa formula 27.5 peratus ditetapkan oleh Teo Chee Kong dan dipersetujui oleh Pengarah Jabatan Air Sabah.

Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim dan Mahadi Abdul Jumaat tampil untuk pendakwaan.

Ag Tahir dan isterinya turut diwakili peguam Mohamed Fareeez Mohamed Salleh, manakala bersama-sama Tan ialah peguam Baldev Singh dan Karpaljit Singh, Kelvin Wong dan Aaron Lau.

Perbicaraan diteruskan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.