DOLLA ubah kekecewaan jadi kekuatan menerusi ‘UGLY’

EntertainmentMusic
25 Sep 2026 • 6:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DOLLA ubah kekecewaan jadi kekuatan menerusi ‘UGLY’

Oleh: NUR AMYLIA RIZAN

PETALING JAYA: Kumpulan DOLLA tampil dengan single terbaharu, ‘UGLY’, yang membawa mesej tentang keberanian mempertahankan harga diri dan menolak pandangan orang lain dalam menentukan identiti diri.

Dipacu keyakinan, semangat melawan dan sentuhan huru-hara yang disengajakan, lagu berkenaan mengangkat kisah kekecewaan yang berubah menjadi kekuatan, selain ditujukan kepada mereka yang pernah dihakimi atau didesak hingga ke batas kesabaran.

Menurut DOLLA, UGLY menggambarkan keberanian untuk menerima diri sendiri tanpa membenarkan orang lain menentukan siapa mereka.

“Jika kami perlu menggambarkan UGLY dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’.

“Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mesej lagu itu dekat dengan kumpulan berkenaan apabila setiap anggota pernah melalui pengalaman dihakimi dan disalahertikan dalam cara berbeza.

Video muzik UGLY turut mengembangkan mesej berkenaan menerusi konsep visual yang diinspirasikan daripada Wayang Kulit, seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia.

Penggunaan cahaya, bayang-bayang, pergerakan, muzik dan penceritaan dalam video berkenaan menggambarkan perbezaan antara persepsi dengan kebenaran, termasuk bagaimana seseorang sering membentuk tanggapan hanya berdasarkan penampilan atau khabar angin.

“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran yang sepenuhnya.

“Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan UGLY kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain.

“Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran,” katanya.

Selain meneruskan muzik dan persembahan ke arah yang lebih berani, DOLLA turut merancang memberi tumpuan lebih besar kepada persembahan di peringkat antarabangsa, selain mendekati khalayak luar Malaysia dan memperkukuh kehadiran di pentas global.

UGLY kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama.

The post DOLLA ubah kekecewaan jadi kekuatan menerusi ‘UGLY’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved