Dolly Parton Meninggal Dunia, Trump Arah Kibar Bendera Separuh Tiang

WorldEntertainment
26 Aug 2026 • 3:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Dolly Parton Meninggal Dunia, Trump Arah Kibar Bendera Separuh Tiang

Penyanyi legenda, Dolly Parton, yang merintis perjalanan luar biasa sehingga bergelar “Ratu Muzik Country”, meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Keluarga penyanyi dan pelakon tersohor Amerika Syarikat itu mengumumkan berita pemergiannya pada Selasa.

Menurut kenyataan wakilnya, Parton menghembuskan nafas terakhir di Nashville selepas berdepan kanser dalam tempoh singkat, dengan ditemani ahli keluarga dan insan tersayang.

Berita pemergian bintang kesayangan ramai itu turut disampaikan anak saudaranya, Brian Seaver, menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagram Parton.

Bagaimanapun, Seaver tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai punca kematian penyanyi berkenaan.

“Nama saya Brian Seaver, anak kepada Cassie Parton. Hari ini saya mewakili keluarga Parton dan Owens untuk mengumumkan pemergian ibu saudara saya, Dolly Rebecca Parton Dean, seorang kakak, ‘Sis’ dan ‘Granny’ kepada satu generasi, serta ‘Gigi’ kepada generasi seterusnya,” katanya dalam video tersebut.

Sejurus berita kematian Parton tersebar, penghormatan dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak mula membanjiri media sosial.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mengarahkan bendera negara dikibarkan separuh tiang di seluruh negara selama seminggu sebagai tanda penghormatan kepada ikon hiburan itu.

Tokoh dan bintang terkenal dari seluruh dunia hiburan turut menyampaikan penghormatan terakhir serta ucapan takziah kepada keluarga Parton.

Berita pemergian Parton menyusuli pengumuman dibuat mendiang Mei lalu mengenai pembatalan persembahannya di Las Vegas.

Pada ketika itu, Parton turut dilaporkan menjalani rawatan berkaitan masalah batu karang yang dihadapinya sejak beberapa tahun lalu.

Daripada kehidupan sederhana di kawasan pergunungan Tennessee, Dolly Parton kemudian muncul sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam sejarah muzik Amerika, bukan sahaja sebagai penyanyi country, malah sebagai bintang Hollywood dan ikon budaya yang disayangi jutaan peminat di seluruh dunia. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved