Dominasi Hibrid: GWM Malaysia Catat Pertumbuhan 177% Sepanjang 2025

LocalCars
17 Jan 2026 • 4:41 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

GWM Malaysia menamatkan tahun 2025 dengan prestasi luar biasa apabila mencatatkan pertumbuhan 177 peratus tahun ke tahun (YoY), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam segmen kenderaan hibrid yang kian berkembang di Malaysia.

Pencapaian memberangsangkan ini didorong oleh peningkatan keyakinan pengguna terhadap jenama GWM, selain strategi produk yang selari dengan perubahan landskap automotif tempatan, khususnya dalam segmen hibrid.

GWM Malaysia muncul sebagai jenama ketiga terbesar dalam segmen hibrid dengan pegangan pasaran sebanyak 15.5 peratus pada 2025. Prestasi ini banyak disumbangkan oleh GWM Haval H6 HEV, yang terus menjadi tulang belakang jualan jenama itu sepanjang tahun lalu.

image is not available

Model berkenaan tersenarai sebagai kenderaan hibrid kedua paling laris di Malaysia, meraih 14.9 peratus pegangan pasaran HEV, hasil gabungan kecekapan bahan api, praktikaliti penggunaan harian dan teknologi hibrid canggih yang memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Kejayaan GWM Malaysia pada 2025 mencerminkan perubahan ketara dalam citarasa pengguna yang semakin cenderung kepada kenderaan hibrid sebagai solusi mobiliti lebih hijau, tanpa menjejaskan prestasi dan keselesaan.

Sebagai persediaan ke fasa seterusnya, GWM turut memperkenalkan asas kepada teknologi Hi4, seni bina hibrid generasi baharu yang menekankan kecekapan tenaga, prestasi seimbang serta pengurusan tenaga pintar. Teknologi ini bakal menjadi tunjang utama strategi elektrifikasi jangka panjang GWM di Malaysia.

Selain Haval H6 HEV, GWM Malaysia turut mengekalkan portfolio produk yang pelbagai merangkumi kenderaan elektrik, model berorientasikan gaya hidup dan keupayaan lasak, disokong oleh inisiatif penjenamaan berterusan bagi meningkatkan kesedaran serta kepercayaan pengguna tempatan.

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, En. Roslan Abdullah, berkata pelancaran akan datang WEY G9 Intelligent Luxury MPV pada hujung Januari 2026 bakal menjadi langkah penting dalam pengembangan segmen premium jenama itu.

“Momentum ini membuktikan pengguna Malaysia semakin bersedia menerima solusi hibrid yang efisien dan praktikal. Portfolio kami akan terus berkembang bagi memenuhi keperluan sebenar pelanggan,” katanya.

Prestasi cemerlang GWM Malaysia turut disokong oleh pertumbuhan global jenama itu. Sepanjang 2025, GWM mencatatkan jualan global sebanyak 1,323,672 unit, meningkat 7.33 peratus YoY, manakala penghantaran ke luar negara mencecah 506,066 unit.

Kenderaan tenaga baharu (NEV) menjadi pemacu utama dengan 403,653 unit terjual, peningkatan 25.44 peratus, sekali gus mengukuhkan reputasi GWM sebagai peneraju teknologi hibrid dan elektrifikasi.

Memasuki 2026, GWM Malaysia tampil dengan asas kukuh untuk terus berkembang, dengan fokus terhadap pengukuhan kepimpinan hibrid, peningkatan pengalaman pemilikan dan peluasan tawaran produk bernilai tinggi.

Pengarah Urusan GWM Malaysia, Mr. Cui Anqi, menegaskan bahawa kejayaan 2025 adalah hasil kepercayaan pengguna tempatan terhadap jenama GWM.

“Kami komited untuk membina pertumbuhan yang mampan, memperkukuh kepimpinan hibrid dan menyumbang secara positif kepada landskap mobiliti Malaysia,” katanya.

Dengan hala tuju yang jelas merangkumi teknologi hibrid, penjenamaan premium dan inovasi masa hadapan, GWM Malaysia kini bersedia melangkah ke 2026 sebagai jenama yang semakin diyakini dalam ekosistem automotif tempatan.

The post Dominasi Hibrid: GWM Malaysia Catat Pertumbuhan 177% Sepanjang 2025 appeared first on TW Media.