DOSM: Indeks Pelopor susut 2.1% kepada 109.8 mata pada Jun 2023

Business & Finance
25 Aug 2023 • 2:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DOSM: Indeks Pelopor susut 2.1% kepada 109.8 mata pada Jun 2023

zulfadli

25/08/2023 - 14:43

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Indeks Pelopor (IP) Malaysia menyusut 2.1% pada Jun 2023 dengan mencatatkan 109.8 mata berbanding 112.1 mata pada tahun sebelumnya, menjangkakan prestasi ekonomi yang menyederhana pada suku keempat 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP merupakan instrumen yang digunakan untuk meramalkan hala tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-32.1%) dan import benar semikonduktor (-19.5%) menyumbang kepada prestasi yang perlahan.

Namun begitu katanya, peningkatan dicatatkan oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (68.2%), indeks perusahaan Bursa Malaysia (7%) dan bilangan syarikat baru didaftar (1.2%).

"Pada masa yang sama, perubahan bulanan IP menurun 0.5% pada bulan rujukan berbanding 1.7% pada Mei 2023.

"Penurunan IP disokong oleh sumbangan negatif lima daripada tujuh komponen terutamanya bilangan unit perumahan diluluskan (-0.5%) dan import benar semikonduktor (-0.4%),” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata, melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Jun 2023, IP kekal di bawah trend 100 mata.

image is not available

Katanya, ini menunjukkan bahawa prospek ekonomi jangka pendek Malaysia berkemungkinan menyederhana, namun menjangkakan bahawa langkah-langkah dasar ekonomi akan mengimbangi cabaran dalam ekonomi.

Merujuk kepada senario ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan pertumbuhan 1.6% kepada 123.2 mata pada Jun 2023 berbanding 121.3 mata pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh nilai caruman benar, KWSP (17.8%).

Sebaliknya, prestasi bulanan IS pula menurun kepada negatif 0.9%, dipengaruhi oleh prestasi yang tidak memberangsangkan dalam kesemua komponen kecuali jumlah guna tenaga, pembuatan (0.1%). - DagangNews.com