
KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Salleh ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah hari ini, dipercayai kerana tindakannya yang lantang menggesa orang ramai memboikot kedai serbaneka, KK Mart.
Beliau menerusi hantaran ringkas di Facebook mengesahkan penahanan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bagaimanapun berkata, perjuangan dan pendirian dalam isu melibatkan KK Mart itu kekal tidak berubah.
“Saya telah ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun telah dijadualkan utk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi.
“Insya Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Pegawai khas Dr Muhamad Akmal, Muhammad Syahmi Basmi ketika dihubungi Getaran turut mengesahkan kejadian tersebut dan berjanji akan berkongsi maklumat lanjut sebaik pemimpin muda itu selesai merakam keterangan.
“Ya, YB (Dr Muhamad) Akmal sekarang berada di IPD (Kota Kinabalu) Sabah dan kini kita tengah tunggu proses selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin berkata, penahanan Akmal dibuat susulan dua laporan yang diterima pihak berkuasa berhubung isu terbabit.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.
“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Muhamad Akmal sebelum ini lantang menggerakkan misi memboikot KK Mart susulan penjualan stoking bercetak kalimah Allah.
Bagaimanapun pada 23 Mac lepas, kumpulan protes yang mahu membantah isu tersebut membuat kesilapan apabila berhimpun di hadapan pasar mini 99 Speedmart, yang jelas dimiliki syarikat berbeza.
Susulan gerakan boikot itu, tiga cawangan KK Mart diserang dengan bom petrol, masing-masing di Bidor, Perak, Kuantan (Pahang) dan Kuching (Sarawak).
Selasa lalu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah. - Getaran, 5 Mac 2024

