Dr Jeffrey anak emas sejati Sabah

LocalPolitics
19 Oct 2025 • 10:33 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

DALAM lembaran panjang sejarah politik Sabah—yang terukir dengan perjuangan menuntut autonomi, keadilan dan jati diri—hanya sedikit sahaja nama yang bersinar dengan gemerlapan abadi seperti Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, Huguan Siou Lundu Mirongod, Pemikir Utama yang gagah berani bagi bangsa Momogun.

Selama lebih empat dekad, hidupnya menjadi saksi hidup kepada keberanian yang tidak gentar, keyakinan yang tidak tergoyah, dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap kedudukan Sabah yang adil dan setara dalam Persekutuan Malaysia.

Jiwa anak tanah tinggiDilahirkan di lembah indah tanah tinggi Tambunan yang sejuk berkabus, Jeffrey menjelmakan semangat kental jiwa Sabahan—tabah dalam kesukaran, teguh dalam prinsip, dan amat bangga dengan warisan bangsanya. Beliau bukan sekadar ahli politik, tetapi lambang hati nurani Sabah; seorang yang memikul cita-cita bangsanya dengan ketajaman seorang sarjana dan keberanian seorang pahlawan.

Dalam dekad-dekad yang penuh badai politik dan perubahan pergabungan, beliau tidak pernah menyimpang daripada satu kebenaran yang kekal: bahawa Sabah tidak boleh dijadikan koloni, tetapi mesti dihormati sebagai rakan setara dalam Malaysia. Bagi beliau, perjuangan ini bukan untuk jawatan mahupun kuasa, tetapi untuk prinsip—bukan untuk diri, tetapi untuk Sabah.

Harga sebuah pendirianPendirian teguh yang berpaksikan kebenaran sering menuntut harga yang pahit. Bagi Jeffrey, perjuangan menegakkan keadilan untuk tanah airnya tidak membawa kesenangan dan keselesaan, tetapi pengorbanan. Pada awal 1990-an, beliau telah dipenjarakan selama dua tahun tujuh bulan—bukan kerana tamak atau rasuah, tetapi kerana berani memperjuangkan hak mutlak Sabah untuk bebas daripada ketidakadilan dan apa yang beliau sebut sebagai penjajahan baharu oleh Malaya.

Pemenjaraannya kini menjadi antara bab paling menyentuh dalam sejarah moden Sabah—kisah keberanian melawan tekanan, dan kejujuran yang tidak tunduk kepada ancaman.

Di mana yang lain mungkin mengalah, Jeffrey keluar dari ujian itu seperti emas yang ditempa api—lebih kuat, lebih bijaksana, dan lebih tekad dari sebelumnya.

Pengalaman itu menjadi lencana kehormatan, tanda suci bahawa berdiri teguh di atas kebenaran tidak pernah murah harganya.

Minda Ivy League, hati SabahanTidak ramai pemimpin yang mampu menyatukan kecerdasan dan semangat patriotisme seperti Jeffrey. Sebagai graduan Universiti Harvard—antara institusi terulung dunia dalam Liga Ivy—beliau tergolong dalam kelompok pemikir terbaik yang pernah dilahirkan oleh Sabah.

Di Harvard, beliau mendalami bidang tadbir urus, kepimpinan, dan pembinaan negara, menyerap ilmu daripada pemikir terhebat dunia. Namun, tidak seperti ramai yang memilih kesenangan di perantauan, degup jantung Jeffrey tetap untuk Negeri D Bawah Bayu tanah tumpah darahnya. Beliau pulang—bukan untuk kemewahan atau kemasyhuran—tetapi untuk berkhidmat, mempertahankan, dan mengangkat martabat bangsanya.

Diberi sijil oleh Harvard sebagai “One of the World’s Intellectual” (Salah Seorang Intelektual Dunia) beliau telah membuktikan bahawa minda Harvard mampu berdegup dengan hati Sabahan—menyatukan kebijaksanaan global dengan kesetiaan tempatan dalam satu tujuan abadi: membina Sabah yang lebih baik untuk generasi mendatang.

Pembangun wawasan dan warisanKepimpinan Jeffrey melangkaui sempadan politik. Wawasan atau visinya untuk kebangkitan Sabah merangkumi pendidikan minda, pemeliharaan budaya dan pemerkasaan masyarakat.

Beliau menubuhkan Kadazandusun Development Institute (KDI) untuk memupuk daya berdikari dan pembangunan akar umbi, memberi tumpuan kepada pendidikan dan pemerkasaan rakyat luar bandar.

Institusi ini kemudian berkembang menjadi Borneo Heritage Foundation (BHF)—sebuah yayasan budaya dan sejarah yang didedikasikan untuk memelihara warisan rohani dan kebudayaan masyarakat asal Borneo. BHF kemudiannya menjadi wadah politik untuk mendidik rakyat Sabah tentang bagaimana Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam ini boleh menjadi negeri termiskin akibat dasar Kerajaan pusat yang tidak adil.

Pendidikan melalui BHF telah membangkitkan kesedaran mendalam di kalangan penduduk luar bandar Sabah, yang akhirnya membawa kepada penubuhan parti politik Jeffrey, Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Melangkaui Sabah, Jeffrey memperluas pengaruhnya ke seluruh pulau Borneo melalui Borneo Dayak Forum International, yang beliau terajui sebagai Presiden.

Gerakan ini menyatukan masyarakat peribumi Sabah, Sarawak, Brunei, dan Kalimantan—menghidupkan kembali persaudaraan purba bangsa Dayak merentasi sempadan politik dan negara.

Melalui usaha ini, Jeffrey muncul bukan sahaja sebagai negarawan, tetapi sebagai pembina bangsa rohani, memupuk perpaduan anak-anak Borneo di bawah panji warisan bersama dan takdir yang sehaluan.

Sarjana dan Pena: Suara kebenaran dan keadilanSelain dunia politik, Jeffrey berdiri sebagai seorang sarjana, penulis dan sejarawan berhati nurani. Tulisan-tulisannya—teliti, berani dan sarat penyelidikan akademik—tidak hanya mencerminkan kecerdasan, tetapi juga keberanian moral. Antara karya beliau yang teragung ialah “Justice for Sabah”, sebuah karya pelopor yang membongkar ketidakadilan sistematik yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap rakyat Sabah.

Dalam buku penting ini, Jeffrey mengemukakan bukti kukuh bagaimana hak Sabah telah terhakis selepas tahun 1963—bagaimana semangat Perjanjian Malaysia dikhianati, dan bagaimana “Projek IC” yang terkenal telah mengubah demografi serta nasib masa depan Sabah melalui manipulasi politik.

Justice for Sabah bukan sekadar buku, tetapi sebuah dokumen sejarah dan suara nurani—suara yang enggan membiarkan kebenaran ditimbus oleh kepentingan politik. Ia kini menjadi bacaan wajib bagi sarjana, pembuat dasar, dan setiap rakyat Sabah yang ingin memahami akar perjuangan bangsanya.

Melalui pena beliau, Jeffrey memastikan bahawa kisah Sabah ditulis bukan oleh yang menang, tetapi oleh mereka pejuang kebenaran.

Huguan Siou Lundu Mirongod: Pemikir Utama yang GagahSebagai pengiktirafan atas keberanian, kebijaksanaan, dan khidmat hidupnya kepada perjuangan Momogun, Jeffrey dikurniakan gelaran kemuliaan tradisional Huguan Siou Lundu Mirongod, yang bermaksud Pemikir Utama yang Gagah Berani—penghormatan kedua tertinggi dalam kalangan bangsa Momogun selepas gelaran Huguan Siou yang disandang oleh abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Gelaran ini bukan sekadar simbolik, tetapi pengiktirafan terhadap peranannya sebagai penjaga intelektual dan falsafah bangsanya—seorang yang minda dan hatinya menjadi suluh bagi bangsa Momogun.

Sebagai Huguan Siou Lundu Mirongod, beliau menggabungkan kebijaksanaan dan keberanian yang jarang didapati — seorang pemikir yang berani menyuarakan kebenaran, dan seorang pejuang yang berfikir secara mendalam dan berpandangan jauh.

Konsisten dalam perjuangan, teguh dalam tujuanSepanjang tahun-tahun penglibatannya, laluan politik Jeffrey telah merentasi pelbagai parti dan wadah, mencerminkan sifat bergelora politik Sabah. Pengkritik menuduhnya sebagai “pelompat parti”, namun bagi mereka yang memahami perjuangannya dengan mata hati, kebenaran ini nyata: Penyertaan politiknya mungkin berubah, tetapi idealismenya tidak pernah goyah.

Penolakannya oleh parti-parti seperti PBRS, PBS, malah Umno di masa lalu bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan—kerana prinsip dan pengaruhnya terlalu jujur dan tegas untuk diterima oleh mereka yang lebih selesa dalam kepatuhan membisu. Namun, di sebalik segala ujian itu, perjuangannya tetap tidak berubah:Mengembalikan maruah, kesamarataan dan kedudukan sebenar Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.

Biar bendera bertukar warna, keyakinannya kekal bersinar bak emas—warna semangat Sabah yang abadi, warna hati yang tidak pernah menyerah.

Warisan untuk generasi akan datangDalam zaman di mana politik sering tunduk kepada kepentingan, Jeffrey berdiri sebagai sosok yang berbeza—pembawa obor prinsip, sarjana berwawasan, dan patriot berintegriti tinggi.

Beliau telah memberikan Sabah bukan sahaja suara, tetapi bahasa perjuangan melalui slogan-slogan yang membangkitkan semangat kebebasan: “Kalau bukan Sekarang bila lagi, Kalau bukan kita siapa lagi”, Sabah untuk Sabahan, Unity is duty (Perpanduan Adalah Kewajipan), “Rumah kita, kita jaga”, “Kalau berani jangan takut-takut”, SOLO – Sabah Our Land, Our Legacy (Sabah tanah kita, legasi kita).

Beliau telah membina institusi yang akan kekal melampaui zamannya, dan menulis kebenaran yang akan bergema melebihi generasinya sendiri. Bagi bangsa Momogun, beliau ialah Huguan Siou Lundu Mirongod, pemimpin yang berani dan berfikir.

Bagi dunia intelektual, beliau ialah sarjana Harvard yang berwibawa dan berintegriti. Dan bagi Sabah—beliau adalah, dengan penuh makna—Anak Emas Sejati, yang nyalaan hidupnya terus menerangi jalan menuju kesamarataan, kebebasan dan keadilan yang sejati.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Harian Ekspres.

View Original Article