Dr Noor Hisham mahu berehat dahulu selepas 35 tahun berkhidmat di KKM

19 Apr 2023 • 6:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PUTRAJAYA, 19 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib Jumaat ini, menyatakan beliau mahu berehat selepas 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Noor Hisham yang dianggap ‘panglima perang’ KKM ketika negara berdepan pandemik Covid-19, merupakan antara individu penting yang menyampaikan perkembangan terkini dan usaha kerajaan dalam memerangi penularan wabak itu dalam negara.

“Rehat dulu,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas mengimbas kad perakam waktu pada jam 4.17 petang sebagai simbolik hari terakhir bertugas di KKM hari ini.

image is not available
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melambai tangan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan sebelum meninggalkan pekarangan Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 19 April 2023. Foto BERNAMA

Beliau diiringi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan warga KKM yang turut hadir mengucapkan selamat bersara kepadanya.

“Alhamdulilah semua berjalan dengan lancar, Covid-19 pun dah berkurangan dan kita dapat mengawal dengan baik dan memang saya tertunggu-tunggu untuk bersara,” kata Dr Noor Hisham.

Dr Zaliha dalam satu hantaran di Facebook beliau merakamkan penghargaan kepada Dr Noor Hisham atas khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang 35 tahun berkhidmat di KKM.

– BERNAMA