
Kecantikan bukan soal penampilan saja, sebaliknya keyakinan diri dan keselesaan menjadi antara perkara yang semakin diberi perhatian oleh kaum wanita.
Menyedari keperluan itu, Dr. Nurhidayah Wahidah Roslan membawa pendekatan tersendiri dalam bidang estetik dengan menitikberatkan aspek keselamatan, selain memastikan rawatan diberikan mengambil kira prinsip patuh syariah.
Menurutnya, sebagai seorang doktor Muslim, dia mahu wanita mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan estetik yang bukan sahaja membantu mereka tampil lebih yakin, malah selari dengan pegangan agama.
“Bagi saya, kalau kita boleh beri rawatan yang membuatkan seseorang lebih yakin tetapi kita juga jaga aspek syariah dan keselamatan, itu lebih baik.
“Saya mahu pesakit rasa yakin bukan sahaja dengan rawatan yang diberikan tetapi juga dengan apa digunakan kepada mereka,” katanya yang mengusahakan sebuah klinik estetik di Pantai Timur.
Dr. Nurhidayah memaklumkan, bidang estetik semakin berkembang apabila masyarakat lebih terbuka untuk mendapatkan rawatan berkaitan penjagaan kulit dan penampilan, namun tidak semua prosedur sesuai untuk setiap individu.
“Setiap orang mempunyai keadaan kulit yang berbeza. Apa yang sesuai untuk seseorang tidak semestinya sesuai untuk orang lain.
“Sebab itu saya tidak mahu pesakit datang hanya kerana melihat orang lain buat sesuatu prosedur, kemudian terus mahu buat perkara sama,” katanya.

Sementara itu, dia memaklumkan, mengurus dan menjalankan sebuah klinik estetik bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pengetahuan, kemahiran serta kefahaman mendalam mengenai bidang berkenaan.
Atas sebab itu, dia terus meningkatkan pengetahuan dengan menyambung pengajian Diploma in Primary Care Dermatology di Bangkok pada 2024.
Menurutnya, kursus tersebut penting bagi membolehkan dia memahami bidang dermatologi dengan lebih mendalam terutama dalam mengenal pasti masalah kulit serta menentukan pendekatan rawatan bersesuaian.
“Kalau mahu menguruskan klinik estetik, kita tidak boleh sekadar tahu membuat rawatan sahaja.
“Kita perlu faham bidang ini dengan lebih mendalam dan sentiasa tambah ilmu. Sebab itu saya ambil kursus ini kerana membantu saya memahami dermatologi dengan lebih baik,” katanya.
Katanya, pembelajaran dalam bidang tersebut turut membantunya melihat masalah kulit dari sudut yang lebih menyeluruh, sebelum mencadangkan sebarang rawatan kepada pesakit.
Bagi Dr. Nurhidayah, tugas doktor bukan sekadar memenuhi permintaan pesakit, sebaliknya perlu memastikan rawatan yang diberikan benar-benar sesuai dan selamat.
Katanya, terdapat keadaan apabila pesakit meminta prosedur tertentu tetapi selepas pemeriksaan, rawatan berkenaan didapati tidak bersesuaian dengan keadaan mereka.
“Kalau saya rasa tidak sesuai, saya akan beritahu pesakit. Kalau perlu dirujuk ke hospital atau pakar, kita akan rujuk.
“Doktor perlu tahu batas diri sendiri dan jangan buat sesuatu semata-mata kerana pesakit minta,” katanya.
Prinsip tersebut terbentuk daripada pengalamannya dalam bidang perubatan selepas menamatkan pengajian di Universitas Kristen Krida Wacana (UKRIDA), Jakarta, Indonesia pada 2012.
Dia memulakan latihan sebagai pegawai perubatan siswazah (HO) pada 2012 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum meneruskan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Sepanjang hampir sedekad bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dia mendapat pengalaman dalam pelbagai bidang termasuk pendedahan berkaitan masalah kulit dan rawatan pesakit.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, sejak awal kerjaya, dia sudah menyimpan impian untuk menjadi pakar dermatologi.
“Dari awal memang saya ada simpan impian untuk menjadi pakar kulit kerana saya suka bidang ini. Saya melihat sendiri bagaimana masalah kulit boleh memberi kesan kepada keyakinan seseorang.
“Disebabkan itu, saya pilih untuk mendalami ilmu estetik kerana ingin membantu pesakit dalam bidang yang saya minati ini,” katanya.
Dalam pada itu, dia memaklumkan, pengalaman dalam perkhidmatan kesihatan awam banyak membantunya memahami bahawa rawatan kulit tidak boleh dilihat hanya dari sudut kecantikan.
Katanya, terdapat pesakit yang datang dengan masalah jerawat, ekzema, parut atau pigmentasi yang bukan sahaja menjejaskan keadaan kulit, malah memberi kesan kepada keyakinan diri.
“Kadang-kadang orang nampak masalah kulit sebagai benda kecil, tetapi kepada pesakit, ia boleh menjadi perkara yang sangat besar.
“Mereka (pesakit) mungkin tidak yakin berjumpa orang, mengambil gambar atau keluar rumah.
“Jadi apabila kita boleh bantu, perubahan itu bukan saja pada kulit, malah pada keyakinan diri pesakit,” katanya.
The post Dr. Nurhidayah mahu bantu lebih ramai pesakit kulit appeared first on Kosmo Online.
