
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Burong, Dr Zamri Zainuldin sudah tidak bersama dengan agensi tersebut.
Zamri yang pernah bertugas di JAKIM sebagai Lembaga Penasihat Pembangunan Al Quran bagaimanapun telah tamat kontraknya pada Disember tahun lalu.
"Dakwaan daripada akaun facebook Mohd Asri Bakar mengenai perkara berkenaan adalah TIDAK TEPAT.
"Dr. Zamri Zainuldin telah tamat tempoh pelantikan sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pembangunan Al-Quran JAKIM sejak Disember 2022 dan pelantikannya tidak diperbaharui," memetik kenyataan di Facebook JAKIM hari ini.
Agensi yang menguruskan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan itu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh salah seorang pengguna Facebook, Mohd Asri Bakar.
Asri di dalam hantarannya mendakwa Zamri masih lagi bersama JAKIM dan mempertikaikan perlantikan tersebut memandangkan ADUN Sg Burong itu kini merupakan ahli politik yang bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, lantikan di agensi berkenaan haruslah selaras dengan Kerajaan Perpaduan yang mana ahli-ahlinya perlu dari kalangan parti Perikatan Harapan (PH) mahupun Barisan Nasional (BN).
"Ini lah antara sebab-sebabnya aku suruh Menteri Agama letak jawatan. Terang-terang dia ini (Zamri) Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
"Macam mana JAKIM boleh ambil (Zamri) pula? Aduhh, tolong lah #PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Sudah tidak ada ustaz dari kalangan orang-orang PH-BN ke?," memetik hantaran pada akaun Facebook Mohd Asri.
Zamri memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Selangor bagi sesi 2023/2025.
Beliau sebelum ini seorang penceramah bebas dan juga personaliti televisyen yang terkenal mengacarakan rancangan berkait bacaan Al Quran dan juga kelas-kelas agama lebih dikenali sebagai Dr Zamri Mantop.
Selain itu, Zamri mempunyai ijazah Sarjana dalam Tafsir dan 'Ulum Al Quran dari Universiti Antarabangsa Madinah dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Hasimet Zarqa' di Jordan. – Getaran, 21 Ogos 2023
