Dr Zulkifli Berpendapat Hukum Pendermaan Rahim Boleh Dikaji Semula

8 Jan 2024 • 11:53 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Dr Zulkifli Berpendapat Hukum Pendermaan Rahim Boleh Dikaji Semula

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengatakan hukum mengenai pendermaan dan pemindahan rahim boleh dikaji semula.

Menurutnya, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada Oktober 2014 memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap darurat.

“Saya berpandangan hukum tersebut boleh dikaji semula. Maktabah Al Bakri telah menyiapkan kajian berhubung hal ini dan akan dimuat naik dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, ia juga dikatakan tidak lengkap tanpa bantuan pakar obstetrik dan ginekologi (O&G).

“Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pakar O&G untuk mendapatkan pandangan yang tuntas dalam isu ini,” katanya lagi.

Beliau menyatakan perkara tersebut susulan laporan berita mengenai kelompok wanita yang menghidap sindrom Mayer-Rokinstansky-Kauser-Hauser (MRKH) atau wanita lahir tanpa rahim.

Untuk pengetahuan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 hingga 22 Oktober 2014 memutuskan bahawa pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap dharurah yang boleh membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan.

Keputusan itu juga dilakukan setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah serta pandangan yang dibincangkan.

Hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati yang hukum asal pendermaan dan pemindahan rahim adalah haram dan tujuan untuk mendapatkan zuriat hanyalah bersifat takmiliyyah iaitu sebagai pelengkap kehidupan berkeluarga.

Selain itu, keperluan mendapatkan zuriat melalui pendermaan dan pemindahan rahim di Malaysia belum berada pada tahap darurah.

Manakala, keperluan mendapatkan zuriat melalui pembedahan dan pemindahan rahim bagi wanita yang mempunyai rahim yang bermasalah atau tidak mempunyai rahim hanya sekadar berada pada tahap tahsiniyyat.