Dr Zulkifli Tak Terlibat Pelaburan Saham, Itu Iklan Palsu!

Politics
15 Aug 2023 • 8:36 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Iklan palsu berkenaan pelaburan patuh syariah yang menggunakan foto Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - gambar X

KUALA LUMPUR - Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kesal apabila namanya disalah guna oleh iklan pelaburan saham, seperti yang tular di media sosial.

Beliau menerusi satu hantaran di X memaklumkan, penularan iklan seumpamanya boleh mengundang kekeliruan ramai.

Kenyataan disediakan pasukan medianya itu antara lain menafikan penglibatan beliau dalam beberapa aktiviti pelaburan saham.

“Kami mengambil maklum bahawa terdapat beberapa iklan tular yang beredar di internet dan platform media sosial yang secara salah mendakwa keterlibatan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam aktiviti pelaburan saham.

“Kami ingin menegaskan dengan jelas bahawa dakwaan ini adalah palsu dan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan, penyertaan, atau pengesahan dalam apa jua aktiviti sedemikian,” katanya.

Kenyataan sama turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati dan memastikan kredibiliti sumber, sebelum menyebarkan sebarang info.

“Adalah penting untuk semua berhati-hati serta memastikan kredibiliti sumber sebelum mempercayai atau menyebarkan sebarang bentuk penipuan (scam).

“Sekiranya anda menjumpai sebarang iklan atau dakwaan yang melibatkan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam aktiviti pelaburan saham, sila laporkan sebagai berita palsu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Iklan mengenai pelaburan berkenaan pada asalnya dimuat naik di platform Facebook.

Menggunakan akaun dikenali sebagai Dadaay, iklan berbayar tersebut dengan jelas mempelawa orang ramai menyertai sejenis skim pelaburan yang membolehkan pelabur mendapat keuntungan seawal tiga jam.

Mendakwa ia sebagai pelaburan rendah risiko dan dijamin, skim itu juga dikatakan patuh syariah serta menawarkan gantian penuh modal jika mengalami kerugian.

Tinjauan Getaran di akaun tersebut mendapati, ia dipenuhi pelbagai hantaran berunsur Islamik, termasuk keratan dan potongan hadis, dipercayai untuk memperdaya orang ramai. - Getaran, 15 Ogos 2023