Draf Rancangan Tempatan P.Pinang dilanjutkan

LocalPolitics
28 Dec 2022 • 3:22 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Program publisiti dan penyertaan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 telah dilanjutkan kepada Januari depan, bagi memberi peluang kepada pemegang taruh untuk menyemak, mengemukakan cadangan, maklum balas dan bantahan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar) berkata draf yang dilaksanakan kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengikut proses undang-undang sedia ada.

“Pelanjutan tempoh masa tersebut iaitu melebihi sebulan membolehkan pemegang taruh yang terdiri daripada pemilik atau pemunya tanah termasuk pemaju untuk memberi maklum balas berhubung cadangan pembangunan atau tukar guna tanah untuk tempoh perancangan sehingga 2030 nanti.

“Mereka (pemegang taruh) juga boleh mengakses borang berkaitan (borang bantahan, maklum balas dan pandangan awam) secara dalam talian. Proses ini adalah memenuhi peruntukan undang-undang (sebelum dokumen Rancangan Tempatan dimuktamadkan),“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan parti Gerakan yang mempersoal ketelusan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030.

Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 adalah yang pertama diumumkan bagi kawasan pulau iaitu 14 tahun sejak kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mentadbir negeri dan ia telah dibuka untuk publisiti serta penyertaan awam selama dua bulan mulai 14 Okt hingga 13 Dis namun dilanjutkan hingga 10 Jan depan.

Chow berkata tempoh semakan dilanjutkan itu memberi ruang seluas-luasanya untuk pelbagai pihak memberi maklum balas mengenai draf berkenaan.

Setelah itu, beliau berkata proses tersebut akan disusuli dengan penghantaran notis makluman kepada pihak berkaitan yang telah mengemukakan cadangan serta bersetuju untuk hadir ke sesi pendengaran awam dikendalikan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Melalui sesi pendengaran awam ini juga, para pemegang taruh dapat bersemuka dengan panel terlibat bagi mengemukakan pandangan masing-masing.

“Saya difahamkam pihak MBPP juga telah mengadakan pertemuan (sesi townhall) dengan persatuan-persatuan berkaitan berhubung draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030, sebelum ini. Draf ini telah mengambil masa yang begitu lama untuk sampai ke tahap ini dan ia dilaksanakan bagi memenuhi peruntukan undang-undang,“ katanya.