Draf Resolusi Tuntut Gencatan Senjata Gagal Capai Kata Sepakat 

26 Oct 2023 • 2:40 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Draf Resolusi Tuntut Gencatan Senjata Gagal Capai Kata Sepakat

Washington- Dua draf resolusi yang dicadangkan secara berasingan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mengenai konflik Israel-Palestin dilaporkan gagal diluluskan di Majlis Keselamatan PBB.

Proses undian pertama yang dilakukan dimulakan dengan draf resolusi yang dicadangkan AS.

Draf resolusi AS itu menuntut supaya melaksanakan humanitarian pauses di Gaza serta mengutuk serangan yang dilakukan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu di Israel.

Selain itu, draf AS itu juga menuntut ‘pembebasan segera dan tanpa syarat ke atas semua tawanan’ yang ditawan oleh Hamas.

Resolusi itu dilaporkan mendapat 10 undi menyokong, manakala Rusia, China dan Emiriah Arab Bersatu mengundi untuk menentangnya.

Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata bahawa AS sangat kecewa kerana Rusia dan China menggunakan kuasa veto mereka terhadap resolusi itu.

Menurut Linda, resolusi AS itu ‘kuat dan seimbang’ dan itu adalah hasil perundingan dengan ahli Majlis itu.

“Kami mendengar suara anda. Kami mendengar semua maklum balas,” jelas Linda.

Dalam pada itu, Linda juga menggesa negara anggota supaya tidak ‘menggalakkan tingkah laku sinis Rusia dan tingkah laku tidak bertanggungjawab dengan mengundi teks yang ditawarkan pada saat-saat akhir.

Sementara itu, draf resolusi Rusia yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan turut diundi di Majlis Keselamatan PBB.

Resolusi itu bagaimanapun gagal mendapat undi yang mencukupi untuk dilaksanakan.

Resolusi itu menerima empat undi menyokong, dua menentang dan sembilan berkecuali.

Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah antara negara yang menolak resolusi tersebut.

Utusan PBB Rusia, Vassily Nebenzia berkata bahawa Rusia kesal kerana Majlis Keselamatan tidak menggunakan inisiatif lain yang ada untuk bertindak balas terhadap ‘krisis yang belum pernah terjadi’ di Timur Tengah itu.

Sementara itu, wakil alternatif AS, Robert Wood untuk Hal Ehwal Politik Khas di PBB berkata, ia tidak ‘berbaloi untuk membuat sebarang perbincangan mengenai resolusi Rusia itu’.

“Amerika Syarikat tidak dapat menyokong satu pun resolusi yang dikemukakan Rusia tanpa perundingan yang gagal bagi menggambarkan realiti di lapangan,” kata Wood.

Majlis Keselamatan telah menggunakan kuasa veto dalam empat draf resolusi berhubung situasi di Israel-Palestin dalam tempoh 10 hari.

Minggu lalu draf resolusi berbeza yang dicadangkan oleh Brazil dan Rusia juga telah ditolak.