Drama Band, Asfan Shah & Manusia gabung tenaga di pentas

EntertainmentMusic
20 Oct 2026 • 1:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Drama Band, Asfan Shah & Manusia gabung tenaga di pentas
Para peminat merakam gambar kenangan bersama Drama Band serta Asfan Shah & Manusia sempena sidang media konsert di Kuala Lumpur.
Image from: Drama Band, Asfan Shah & Manusia gabung tenaga di pentas
Drama Band serta Asfan Shah & Manusia akan bergabung tenaga pada Konsert Malam Drama Manusia di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari depan.

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar menyatukan dua kumpulan muzik, Konsert Malam Drama Manusia bakal membawa penonton menyelami persembahan yang menggabungkan fantasi, imaginasi dan permainan emosi di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari 2027.

Dianjurkan Permaico Concerto, konsert yang bermula pukul 8.30 malam itu dijadualkan berlangsung lebih dua jam dengan menampilkan lebih 25 lagu daripada Drama Band dan Asfan Shah & Manusia.

Kelainannya terletak pada segmen khas yang menghimpunkan kedua-dua kumpulan secara serentak, sekali gus memberikan ruang kepada pemuzik menggabungkan kekuatan dan identiti muzik masing-masing.

Vokalis Asfan Shah & Manusia, Asfan Shah berkata, persembahan itu disusun secara berperingkat dengan setiap kumpulan diberikan ruang memperkenalkan identiti mereka sebelum bergabung dalam segmen istimewa.

Menurutnya, konsep fantasi dipilih bagi membawa penonton keluar daripada pengalaman konsert biasa, sebaliknya merasai perubahan suasana sepanjang persembahan.

**media[3682565]**

“Kami tidak mahu sekadar mengadakan konsert biasa, penyanyi menyanyi dan penonton melihat.

“Kami mahu memberikan pengalaman baharu dengan pelbagai rasa, termasuk suasana bertenaga, sedih dan emosi bercampur baur,” katanya pada sidang media pengumuman konsert di Menara Arina Uniti di sini, pada Jumaat.

Asfan berkata, kerjasama itu menjadi projek sulung kedua-dua kumpulan dalam konsert berskala besar, selain membuka peluang untuk mereka meneroka pendekatan muzik yang berbeza.

Idea menggabungkan kedua-dua kumpulan dicetuskan pihak penganjur yang melihat persamaan kekuatan karya mereka, khususnya lagu yang pernah digunakan sebagai runut bunyi asal (OST) drama televisyen tempatan.

Antara tarikan yang dirancang ialah persembahan gabungan dua vokalis, tujuh pemain gitar dan dua pemain dram, sekali gus menjanjikan susunan muzik lebih padat berbanding persembahan secara berasingan.

Sementara itu, vokalis Drama Band, Aepul Roza atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, menyifatkan peluang tersebut sebagai pengalaman bermakna selepas dia dan Asfan pernah bersaing dalam pertandingan muzik.

“Saya sangat teruja kerana ini konsert berskala besar pertama kami bersama. Saya dan Asfan sudah pernah bertanding dua kali di atas pentas. Ada masanya dia menang, ada masanya saya menang.

“Jadi, ini satu peluang yang sangat saya hargai,” katanya.

Aepul turut memberikan bayangan mengenai kejutan yang bakal disajikan kepada peminat, termasuk kemungkinan membotakkan kepala atau membuat kemunculan menggunakan helikopter, namun enggan mendedahkan perancangan sebenar.

Selain persembahan bersama, Asfan berkata, kumpulannya akan membawakan karya ciptaannya sendiri serta lagu yang pernah dihasilkan untuk penyanyi lain dengan susunan muzik baharu khusus bagi konsert itu.

Asfan Shah & Manusia yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu turut menampilkan Zali daripada New Boyz sebagai pemain bes, Arash daripada Treehill sebagai gitaris dan Adam Karman, seorang pensyarah muzik.

Drama Band pula dibarisi Aepul sebagai vokalis, Daus, Adib, Padel, Faeez dan Syahmir, yang mengisi posisi pemuzik dalam kumpulan berkenaan.

Tiket Konsert Malam Drama Manusia boleh didapati menerusi platform Ticket2u, manakala perkembangan terkini acara itu boleh diikuti melalui tanda pagar #MalamDramaManusia di media sosial.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved