Seorang pemilik restoran makanan laut di Mukah, Mei Mey, baru-baru ini menjadi tular di media sosial selepas meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tuduhan seorang ahli politik, Neow Choo Seong, yang mendakwa beliau menipu dalam mengenakan caj harga makanan RM1,377 bagi 40 orang pelanggan.
Bagaimanapun dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, Mei Mey menjelaskan beliau telah bertemu dengan Neow untuk menyelesaikan salah faham yang timbul.
Kedua-dua pihak bersepakat untuk menyelesaikan salah faham yang timbul dengan bermaaf-maafan dan menerima kekhilafan masing-masing.
“Saya berharap perkara ini akan menjadi pengajaran untuk kita semua yang hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa.
“Saya juga berharap, isu ini tidak dibangkitkan semula dan memohon agar jangan ada pihak ketiga yang memanipulasikan isu ini untuk kepentingan peribadi dan agenda tersirat,” kata Mei Mey.
Hentikan buli siber
Sementara itu, Neow mengakui beliau terkejut apabila namanya dipetik dalam isu tular itu. Namun, beliau bersetuju untuk tidak memanjangkan hal tersebut. Beliau menghargai kesudian Mei Mey yang pantas tampil menjelaskan keadaan sebenar akibat salah sangka.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mungkin terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak tepat sebelum ini. Namun, saya memohon semua pihak menghentikan perbuatan buli siber dan penyebaran maklumat palsu,” ujar Neow.
Isu ini mula tular apabila Mei Mey mendakwa Neow menuduhnya menipu kerana mengenakan caj RM1,377 selepas membawa 40 orang menjamu selera di restorannya.
Mei Mey menafikan tuduhan tersebut dan menjelaskan semua harga makanan sudah tertera di dalam buku menu dan pihaknya tidak mengambil kesempatan terhadap ahli politik berkenaan.
The post Drama bil RM1,377: Ahli politik & owner restoran seafood akhirnya berdamai dengan senyuman appeared first on The Reporter.




