
KUALA LUMPUR - Dunia kriket tempatan bergolak lagi.
Kali ini melibatkan Persatuan Kriket Sarawak (SCA), yang selama ini menikmati layanan istimewa daripada Persatuan Kriket Malaysia (MCA).
SCA bukan hanya diberi peluang menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa mutakhir ini, malah persatuan itu didakwa bakal menerima lebih banyak ‘hadiah’ sebagai tanda hubungan akrab antara kedua-dua pihak.
Namun di sebalik semua itu, ada rahsia besar tersembunyi; SCA dikatakan tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan selama lebih sedekad, dan segala keputusan penting dibuat secara bersendirian tanpa sebarang perbincangan jawatankuasa.
Seorang ahli yang enggan dikenali mendedahkan, mesyuarat agung hanyalah sandiwara dan laporan tetap dihantar kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan walaupun hakikatnya tiada mesyuarat pernah berlangsung.
Sumber mendakwa, perkara ini telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Sarawak, Azizi Johari, namun beliau dilihat enggan mengambil sebarang tindakan.
Susulan pendedahan, Presiden SCA, Awang Mahyan Awang Mohamed, berang apabila mengetahui hal ini dan berjanji akan memanggil mesyuarat dalam masa terdekat.
Menurut sumber dalaman, Mahyan juga terkejut apabila mendapati beliau tidak pernah dimaklumkan tentang pelantikan Haikal Harith Adam Prakash sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), yang dibuat tanpa sebarang mesyuarat jawatankuasa, malah banyak lagi keputusan lain turut dibuat secara unilateral.
Rampasan Kuasa
Lebih memburukkan keadaan, Setiausaha Kehormat SCA, Gordon Chung Pei Nan, yang turut memegang jawatan penting dalam MCA adalah antara individu utama terbabit rampasan kuasa (coup d’état) yang dilakukan bersama bekas presiden MCA, Mahinda Vallipuram, serta dua lagi tokoh berpengaruh, Datuk Ahmad Feisal dan Amy Mokhzani.
Rampasan kuasa berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk menjatuhkan Exco terdahulu, diketuai Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali atas alasan “masalah operasi”.
Sekadar info, Ahmad Feisal ialah Naib Presiden MCA dan juga Bendahari Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Sebelum sibuk berpolitik di peringkat kebangsaan, Chung sepatutnya membersihkan kekotoran dalam persatuan negerinya sendiri,” tegas sumber.
Sumber itu memberitahu, Persatuan Kriket Kedah yang dipimpin Ahmad Feisal gagal melahirkan sebarang bakat muda tempatan atau menjalankan sebarang aktiviti yang signifikan selama hampir sepuluh tahun, namun masih dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Tinggi MCA.
Amy Mokhzani, Presiden Persatuan Kriket Perlis pula turut memegang jawatan dalam jawatankuasa sama walaupun kelayakan dan sumbangannya terhadap pembangunan sukan itu masih menjadi persoalan.
“Jika benar, maka persoalannya ialah: apakah kelayakan sebenar mereka untuk berada dalam jawatankuasa tertinggi sukan ini?
“Malaysia memiliki ramai jurulatih bertauliah yang jauh lebih layak daripada mereka untuk duduk di situ,” kata sumber itu lagi.
Nama Hebat Tapi Prestasi Buruk
Seorang sumber dalaman pula mempersoalkan peranan jurulatih Bilal Assad dalam Jawatankuasa Prestasi Tinggi.
Bilal dilantik semula oleh MCA buat kali ketiga dalam tempoh 12 tahun, hanya beberapa minggu selepas Mahinda kembali berkuasa pada April lalu.
Exco terdahulu telah menyingkirkan Bilal pada November 2023 kerana gagal menunjukkan prestasi, namun kini beliau diangkat semula walaupun terus gagal membawa kejayaan kepada pasukan negara, termasuk kekalahan memalukan kepada Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kelayakan Piala Dunia minggu lalu.
“Ironinya, MCA turut melantik Dav Whatmore, jurulatih bertaraf dunia yang membawa Sri Lanka menjuarai Piala Dunia 1996.
“Namun individu sehebat ini diketepikan begitu sahaja, hanya ditugaskan menguruskan program wanita, manakala Bilal terus diberi keutamaan walaupun rekodnya hambar,” kata sumber itu dengan sinis.
Beliau menambah, komuniti kriket Malaysia semakin lantang menuntut kebertanggungjawaban, tetapi Bilal bertindak seolah-olah dirinya kebal undang-undang, memandangkan dia dilindungi Ahmad Feisal, Amy Mokhzani serta dua bekas kapten kebangsaan, Ahmad Faiz dan Virandeep Singh yang turut melobi kuat untuk pelantikannya.
Dana Dan Akaun Misteri
Getaran diberitahu, exco semasa MCA dilaporkan menggunakan akaun luar untuk menyalurkan dana daripada ICC atau hak penyiaran yang dikendalikan ‘seorang individu atau pekerja’.
“Ini sangat mencurigakan. Sebuah badan kebangsaan sepatutnya mempunyai prosedur kewangan rasmi, bukan akaun peribadi untuk uruskan wang berjuta-juta,” kata sumber berkenaan.
Lebih memburukkan keadaan, selepas kegagalan memalukan di Oman, pasukan kebangsaan turut membawa 10 individu sebagai pasukan sokongan.
Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati sukan terbabit; apakah ini ini satu percutian mewah yang berselindung di sebalik misi negara — atau ganjaran untuk ‘membalas jasa’ kumpulan rampasan kuasa Mahinda, Gordon, Ahmad Feisal dan Amy Mokhzani?
Skandal Lebih Besar Daripada FAM?
Susulan semua isu yang berlegar, timbul desakan supaya Pesuruhjaya Sukan dan Kementerian Belia dan Sukan segera campur tangan, kerana isu ini dilihat lebih serius daripada kemelut yang sedang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mahinda yang dahulunya dikenali sebagai tokoh berwibawa kini dilihat tersasar jauh, apabila bersubahat dengan Ahmad Feisal dan Amy Mokhzani untuk melantik semula Bilal sebagai Ketua Jurulatih, kononnya sebagai ‘barter’ undi daripada Perlis dan Kedah.
Namun, Pesuruhjaya Sukan tidak mengiktiraf Mahinda dan pasukannya sebagai Exco sah MCA, selepas timbul bukti bahawa rampasan kuasa berlaku menerusi pemalsuan tandatangan seorang naib presiden negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Sukan turut mengesahkan bahawa kes ini kini dalam proses mahkamah (sub judice), dan sebarang keputusan lanjut tidak boleh dibuat sehingga perbicaraan selesai.
Mahinda Hilang Pengaruh
Di peringkat antarabangsa, Mahinda sudah kehilangan jawatan penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Majlis Kriket Asia (ACC).
Jika beliau terus bermain politik dan menyeleweng arah tuju kriket Malaysia, beliau bakal menghadapi cabaran besar dalam Mesyuarat Agung Tahunan ICC akan datang untuk mempertahankan kedudukannya sebagai salah seorang Pengarah Bersekutu ICC.
Pada Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan MCA untuk mendapatkan injunksi terhadap lima ahli jawatankuasa yang dikatakan bukan lagi ahli Exco, kerana gagal membuktikan sebarang bukti sahih.
Sebelum ini, Ahmad Feisal menuduh lima individu termasuk Mohammed Iqbal Ali, Dr BN Arun Kumar, Amarjeet Singh, Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman Othman mencampuri urusan persatuan walaupun telah meletakkan jawatan.
Walau bagaimanapun, Iqbal menarik balik peletakan jawatannya sebagai presiden MCA pada April dan meneruskan tugas bagi baki penggal seterusnya.
Getaran sebelum ini melaporkan, punca sebenar kekecohan berpunca daripada konspirasi dalaman untuk menggulingkan presiden dan timbalan MCA melalui pemalsuan tandatangan rasmi, satu tindakan yang disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap sukan negara. - Getaran, 23 Oktober 2025
