'Drive For Gaza': 500 4x4 Berkonvoi, Terengganu Jadi Lokasi Pertama

LocalPolitics
31 Jan 2026 • 7:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bandar Kuala Terengganu ‘bergegar’ hari ini dengan gema 500 kenderaan pacuan empat roda (4x4) dari seluruh negara, yang berhimpun bagi menjayakan kempen Drive For Gaza.

Menjadikan Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai lokasi berkumpul, ia menandakan titik permulaan konvoi solidariti kemanusiaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati kerana mercu tanda ikonik tersebut dipilih sebagai lokasi pembuka tirai program.

image is not available
Hishamuddin Abdul Karim melekatkan poster kempen pada 4x4 seorang peserta

Menurut beliau, kerajaan negeri optimis objektif utama kempen terbabit akan berjaya dilaksanakan, walaupun ia bukan satu perkara mudah.

“Saya difahamkan, kempen inu bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui jalan darat.

“Sudah tentulah ia memerlukan perancangan rapi serta kerjasama bersama rakan luar negara, apatah lagi ia melibatkan urusan rentas sempadan. Namun saya yakin dan percaya, niat yang baik pasti akan berjaya dan mampu direalisasikan,” katanya kepada Getaran sejurus selepas perasmian.

Hadir merasmikan majlis sebagai wakil Menteri Besar, Hishamuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penganjuran program oleh pertubuhan dan kelab yang membawa objektif murni.

Program seumpama itu katanya, adalah satu inisiatif positif yang berupaya menyatukan masyarakat.

“Bila orang bertandang ke Terengganu, kita alu-alukan. 

“Program seperti ini memberi manfaat kepada komuniti dan kerajaan negeri turut seronok menyambut penganjuran acara sebegini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Drive For Gaza merangkap Pengerusi Sukarelawan Bencana Dan Kebajikan (DVAC), Khairul Badri Abdul Basit berkata, program hari ini mencerminkan sokongan padu komuniti 4x4 terhadap perjuangan kemanusiaan di Palestin.

“Konvoi ini bertujuan menghayati bagaimana perjalanan misi bantuan ke Gaza akan dilaksanakan pada masa akan datang, selain mengumpul dan menyalurkan dana bantuan kemanusiaan melalui jalan darat,” katanya.

image is not available

Beliau berkata, konvoi sebenar ke Gaza dijangka berlangsung tahun hadapan, manakala pengisian tahun ini khusus untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. 

“Laluan seterusnya melibatkan Melaka, Kelantan dan berakhir di Putrajaya. Kami mahu menghimpunkan komuniti 4x4 supaya lebih ramai dapat bersama-sama menunjukkan solidariti kepada Palestin. 

“Kami juga menyeru rakyat Malaysia agar terus mengekalkan boikot dan tidak menyokong produk berkaitan Israel,” katanya.

Sebarang sumbangan untuk menjayakan program berkenaan boleh disalurkan melalui platform rasmi Drive For Gaza, DVAC atau Muslim Care Malaysia. - Getaran, 31 Januari 2026

View Original Article