Dron Digunakan Untuk Menghantar Ubat-Ubatan Ketika Musim Haji Buat Pertama Kali

TechnologyDigital
3 Jun 2025 • 7:23 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ujian penghantaran ubat menggunakan dron telahpun dimulakan oleh SKMM di Sabah. Kita baru bertatih tetapi pada musim Haji tahun ini, Arab Saudi telah menggunakan sistem dron untuk menghantar ubat dan bekalan perubatan ke pusat-pusat rawatan apabila diperlukan. Penggunaan dron memendekkan masa menghantar ubat dari 1 jam ke 6 minit sahaja yang membolehkan rawatan diberikan kepada yang memerlukan jauh lebih pantas.

image is not available

Lebih daripada 2000 jenis ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan boleh dihantar menggunakan rangkaian 136 lokasi. Dron akan kemudiannya menghantar kargo yang dibawa ke enam pusat perubatan utama yang terletak di Mina, Muzdalifah dan Gunung Arafah. Lokasi dipilih kerana ia bakal menjadi tumpuan 1.25 juta jemaah Haji yang akan bermula 4 Jun hingga 9 Jun. Sistem dron ini dikendalikan oleh NUPCO yang merupakan pembekal kelengkapan perubatan di Arab Saudi.

Arab Saudi mengintegrasikan pelbagai teknologi terkini bagi memastikan ibadah Haji dapat dilalukan dengan lancar dan selamat. Selepas tragedi Terowong Muassim 35 tahun lalu, perisian simulasi pergerakan jemaah digunakan bagi mengawal trafik ke lokasi melontar Jamrah.

image is not available

Aplikasi pintar juga kini digunakan bagi memastikan hanya jemaah dengan visa sah boleh melakukan ibadah dengan setakat ini lebih 200,000 individu telah dihalang. Langkah diambil selepas lebih 1300 kematian dilaporkan tahun lalu akibat cuaca panas dengan majoritinya melibatkan jemaah yang melakukan Haji tanpa kebenaran.

Turut diperkenalkan beberapa tahun lalu ialah kenderaan elektrik membantu jemaah melakukan tawaf di Masjidil Haram menggantikan keperluan penggunaan roda dan jemaah dipikul seperti sebelum ini.