Dron hantar ubat di Tawau dilancar September, Oktober

LocalTechnology
15 Aug 2026 • 5:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dron hantar ubat di Tawau dilancar September, Oktober

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti lokasi pelepasan dan pendaratan bagi pelaksanaan projek rintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau yang dijangka dilancarkan September atau Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menguji keberkesanan teknologi berkenaan dalam mempercepatkan akses ubat kepada penduduk.

Katanya, Klinik Kesihatan Tawau ditetapkan sebagai lokasi pelepasan, manakala dua lokasi pendaratan ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) MCMC di Sungai Imam dan Tinagat.

“Bahagian Kesihatan Digital (BKD), dengan kerjasama Program Farmasi, akan mengadakan bengkel dan latihan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Tawau serta pusat NADI.

“Latihan ini bagi memastikan semua prosedur berkaitan pelaksanaan projek rintis dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Menurut Dzulkefly, KKM dan MCMC turut melantik Alpha Catalyst sebagai penilai rasmi projek berkenaan bagi menilai keberkesanan inisiatif itu.

Katanya, sekiranya semua persiapan berjalan lancar, majlis pelancaran rasmi akan dianjurkan bersama KKM dan Kementerian Komunikasi pada September atau Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah diluluskan perolehan mesin Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) dan siklotron bernilai RM30 juta di bawah Pelan Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“KKM dijangka mengenal pasti pembekal yang berjaya menerusi proses tender pada suku keempat tahun ini.

“Perolehan ini penting bagi memperkukuh kemudahan diagnosis dan pemantauan kanser di Sabah, sekali gus mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan perkhidmatan berkenaan di luar negeri,” katanya.

Pada 2023, ketiadaan mesin PET di Sabah dilaporkan menyebabkan kira-kira 20 daripada 1,444 pesakit baharu kanser terpaksa mendapatkan imbasan PET di luar Sabah bagi tujuan diagnosis dan pemantauan penyakit. –UTUSAN

The post Dron hantar ubat di Tawau dilancar September, Oktober appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved