Dron JPJ Kelantan kesan kesalahan potong barisan, langgar lampu merah

7 May 2023 • 5:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Memotong barisan dan gagal mematuhi lampu isyarat merah merupakan kesalahan paling tinggi dikesan melalui pengoperasian dron oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 18 hingga 27 April lepas.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata sebanyak 207 kes kesalahan memotong barisan dan 108 kes kesalahan melanggar lampu isyarat merah dikesan sepanjang operasi berkenaan.

Beliau berkata pihaknya turut mengesan 24 kes lain melibatkan kesalahan topi keledar (18), memotong di garisan berkembar (4) dan lain-lain kesalahan (2).

“Sepanjang Op HRA 2023, JPJ Kelantan telah mengeluarkan 3,417 notis kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Syawal di Akademi JPJ Wilayah Timur di sini hari ini.

Mohd Misuari berkata sepanjang Op HRA 2023 itu, sejumlah 9,319 kenderaan telah diperiksa dan 2,871 notis saman direkodkan.

Menurutnya, kesalahan tertinggi yang dikesan ialah tiada lesen memandu, memandu kenderaan tiada lesen kenderaan motor, tiada perlindungan insurans, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, membawa lebih muatan/muatan bahaya dan kesalahan teknikal.

“Sebanyak 39 kenderaan turut disita kerana melakukan kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor, tiada perlindungan insurans dan pemandu warga asing,” katanya. - Bernama