sarah19/11/2026 - 12:04 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Dron penuaian sawit yang mampu beroperasi sendiri dan dibangunkan bersama syarikat teknologi tempatan mencapai kadar kejayaan 90% dalam ujian terkawal, sekali gus menunjukkan potensi teknologi baharu untuk meningkatkan hasil dan kecekapan kerja di ladang.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu memperlihatkan kemampuan syarikat teknologi tempatan menghasilkan peralatan moden yang berpotensi membantu industri perladangan mengurangkan kebergantungan kepada kerja secara manual.
Beliau berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI), dron dan mesin moden juga dapat membantu pengusaha ladang menganggarkan hasil tanaman, mengurangkan penggunaan baja, memantau kawasan tanaman serta mengurus bekalan dengan lebih cekap.
"Dron penuaian autonomi yang dibangunkan bersama syarikat teknologi tempatan telah mencapai kadar kejayaan 90 peratus dalam ujian terkawal. Ini inovasi anak tempatan yang wajar kita banggakan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada ESG Summit 2026 sempena Festival Idea Putrajaya 2026, hari ini.
Penggunaan mesin kurangkan keperluan pekerja ladang
Noraini turut memberikan contoh penggunaan teknologi moden oleh SD Guthrie menerusi Project Infinity yang kini menggunakan 444 mesin bagi menjalankan kerja pembajaan dan kawalan rumpai di ladang.
Menurut beliau, penggunaan mesin berkenaan berjaya mengurangkan keperluan pekerja bagi tugasan tersebut sebanyak 29% tanpa membabitkan pemberhentian pekerja.
Pada masa sama, seramai 503 rakyat tempatan telah dilatih sebagai pakar mesin dengan purata gaji kira-kira RM3,500 sebulan, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi.
Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan bahawa penggunaan teknologi moden bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan kerja, malah mampu menyediakan peluang kerjaya dengan pendapatan lebih baik kepada golongan muda.
Pekebun kecil perlu turut menikmati manfaat teknologi
Bagaimanapun, Noraini mengingatkan bahawa kejayaan penggunaan mesin moden di syarikat perladangan besar perlu diperluas supaya pekebun kecil turut menikmati manfaat yang sama.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan AI dan teknologi digital mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab, termasuk melindungi maklumat pekebun kecil serta memastikan sistem yang dibangunkan mudah digunakan dan tidak membebankan mereka.
"Teknologi mesti memperkasa semua, bukan hanya mereka yang besar," katanya.- DagangNews.com

