
KYIV: Seramai 37 orang maut dan hampir 400 penduduk dipindahkan selepas serangan dron Russia membedil sebuah depot yang menyimpan senjata untuk tentera Ukraine berhampiran kawasan perumahan di pinggir Kyiv.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, serangan itu menyebabkan peluru, periuk api dan dron di depot berkenaan meletup pada lewat Jumaat (waktu tempatan), mengakibatkan letupan besar yang merosakkan hartanah berhampiran, termasuk sebuah pusat penjagaan warga emas dan golongan kurang upaya.
Menurut beliau, lokasi penyimpanan itu sememangnya tidak sepatutnya berada di situ dan siasatan telah dilancarkan berhubung kecuaian pihak yang menyimpan bahan letupan betul-betul berhampiran kediaman orang awam.
Katanya, depot di Myla itu dikendalikan oleh angkatan tentera Ukraine.
“Keputusan menyimpan bahan letupan di kampung itu sama sekali tidak boleh diterima. Prosiding jenayah telah dibuka atas dakwaan kecuaian penjawat awam,” katanya.
Serangan itu merupakan yang kedua menyasarkan depot peluru berhampiran Kyiv dalam tempoh beberapa bulan, sekali gus mencetuskan kemarahan baharu.
Ketua wilayah, Tymur Tkachenko berkata, 42 orang cedera dalam letupan tersebut, termasuk empat kanak-kanak. Operasi menyelamat masih dijalankan di lokasi kejadian di daerah Bucha.
Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan berkata, tenteranya menyasarkan depot peluru di Myla, sebuah kampung di barat Kyiv yang menyimpan komponen dan penggalak pelancaran bagi kenderaan udara tanpa pemandu jarak jauh FP-1/FP-2.
Letupan itu merosakkan kira-kira 130 rumah di kampung berkenaan.
Letupan itu kembali menimbulkan persoalan mengapa peluru disimpan begitu hampir dengan kediaman penduduk dan sebelum ini digunakan untuk menyimpan makanan, terutama ketika serangan udara Russia berlaku secara berkala.
Perdana Menteri Ukraine, Sergiy Koretsky turut melahirkan rasa kesal kerana pengajaran daripada letupan di Vyshneve sebelum ini tidak diambil iktibar.
Siasatan terhadap insiden berkenaan mendapati terdapat kelemahan serius dalam pengurusan sebuah syarikat milik kerajaan yang gagal mematuhi peraturan berkaitan penyimpanan bahan letupan berhampiran kawasan kediaman.
“Pada tahun kelima pencerobohan berskala penuh, mengulangi kesilapan yang sama berkali-kali adalah kecuaian jenayah,” kata Koretsky dalam Telegram.
The post Dron Russia bedil depot senjata disorok di kawasan perumahan, 37 maut appeared first on Utusan Malaysia.


