Sebelum zaman TV satelit Astro, Panggung Sutera dan Pearl Screen adalah dua slot untuk tayangan filem dari Hong Kong. Filem klasik seperti Fong Sai Yuk, Project A dan God of Cookery akan ditayangkan berkali-kali sehingga skrip boleh dihafal. Kerana filem-filem Hong Kong mempunyai nilai seni budaya yang tidak ternilai, sebanyak 100 filem kung fu telah dipilih untuk dipulihkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) menerusi projek yang dibiayai kerajaan China.

Antara filem yang terpilih di bawah Rancangan Warisan Filem Kung Fu adalah Fist of Fury lakonan Bruce Lee, Drunken Master lakonan Jackie Chan dan Once Upon a Time in China lakonan Jet Li. Tidak didedahkan bagaimana proses pemulihan akan dilakukan dan syarikat yang akan melakukannya. Lazimnya filem klasik Hong Kong akan dipulihkan dengan mengimbas semula filem fizikal asal ke dalam komputer sebelum setiap bingkai filem dipulihkan satu persatu. Inilah yang dilakukan Shaw Brothers sejak awal 2000.
Selain memulihkan 100 filem klasik China dan Hong Kong, projek A Better Tomorrow: Cyber Frontier turut diumumkan untuk mengolah semula filem klasik Chow Yuen Fatt dan John Woo ini menjadi filem animasi. Filem animasi ini mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan dengan pasukan 30 orang menggunakan AI.
Penggunaan AI untuk memulihkan kualiti filem lama yang tercalar, berlaku perubahan warna dan mungkin hilang bingkai membawakan keputusan yang tidak sekata. Misalnya beberapa filem James Cameron telah dinaik taraf ke 4K untuk cakera Blu-Ray baru-baru ini sehingga kelihatan aneh serta warna yang lari daripada filem asal.


