zakisalleh29/04/2026 - 09:17 DSA berjaya menarik kehadiran lebih 48,000 pelawat termasuk delegasi tentera luar negara. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh editor@dagangnews.com Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026) yang berlangsung di MITEC Kuala Lumpur minggu lalu menutup tirainya dalam suasana penuh signifikan.
Edisi ke-19 ini hadir ketika landskap geopolitik dunia sedang bergolak, termasuk konflik di Teluk memberi kesan langsung kepada penyertaan pameran.
Penarikan diri Iran sebagai pempamer tetap serta ketiadaan beberapa firma gergasi antarabangsa pada awalnya menimbulkan kebimbangan pada kelancaran acara.
Namun, keadaan sebaliknya apabila DSA 2026 tetap berlangsung dengan skala yang mengagumkan.


Sebanyak 1,456 syarikat dari 63 negara menyertai pameran ini, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara platform pertahanan utama di Asia.
Dominasi syarikat dari China menjadi antara sorotan utama dengan kehadiran 192 firma, diikuti Turkiye (87) dan Amerika Syarikat (83).
Penyertaan besar ini mencerminkan persaingan strategik antara kuasa besar dalam memasarkan teknologi pertahanan masing-masing.
Di pavilion China, Poly Technologies mencuri tumpuan dengan pameran sistem peluru berpandu, kapal perang serta pesawat tanpa pemandu.
Hakikat bahawa China selaku pemain kedua terbesar industri pertahanan global menjadikan kehadiran mereka semakin signifikan.



Walaupun bukan pembekal utama kepada Malaysia, pengaruh teknologi China semakin ketara dalam beberapa perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antaranya termasuk penggunaan dron CW-25D, CW-15 serta model DJI Matrice dan sistem pertahanan udara FN-6.
Malah, firma NORINCO menerusi rakan industri di Malaysia menawarkan sistem peluru berpandu pertahanan udara aras sederhana Sky Dragon 100 kepada ATM.
Dalam masa sama, kehadiran kukuh syarikat dari Amerika Syarikat memperlihatkan persaingan teknologi Barat yang masih relevan.

Syarikat-syarikat ini memberi tumpuan kepada sistem persenjataan canggih, elektronik pertahanan dan keupayaan tempur moden.
Turkiye pula memanfaatkan DSA sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan pertahanan dengan Malaysia.
DSA 2026 turut memperkenalkan lima segmen baharu termasuk Pavilion Kerjasama Pertahanan dan segmen ancaman kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE).
Langkah ini menunjukkan evolusi pameran yang bukan sekadar mempamerkan aset ketenteraan, tetapi juga menangani ancaman keselamatan kontemporari.



Pada hari ketiga DSA 2026 menyaksikan sebanyak 24 kontrak dan perjanjian bernilai RM3.54 bilion berjaya dimeterai Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kehadiran 48,347 pelawat perdagangan dari 116 negara membuktikan daya tarikan global DSA masih utuh.
Lebih penting, dasar MINDEF yang menekankan keperluan kandungan tempatan dan pelaksanaan MRO dalam negara memberi nilai tambah kepada industri tempatan.
Pendekatan ini membuka ruang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk berkembang dalam rantaian bekalan pertahanan.
Bagi pemain industri tempatan, DSA menjadi jambatan penting untuk berhubung terus dengan pengguna akhir termasuk ATM dan agensi keselamatan.




Ini sekali gus memperkukuh ekosistem industri pertahanan nasional secara menyeluruh.
Secara keseluruhan, DSA 2026 membuktikan bahawa pameran ini kekal relevan walaupun berdepan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan global.
Keupayaannya menarik penyertaan besar serta memeterai kontrak bernilai tinggi mencerminkan kepentingannya sebagai platform strategik.

Malaysia juga terus dilihat sebagai pintu masuk utama ke pasaran pertahanan Asia Pasifik.
Momentum ini menunjukkan bahawa DSA bukan sekadar pameran, tetapi medan penting diplomasi pertahanan dan kerjasama antarabangsa. - DagangNews.com
