
Kota Kinabalu: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Rabu mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu yang dilantik dalam barisan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah tidak mewakili Umno negeri berkenaan.
Dua Adun itu ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) yang dilantik Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerja Raya iaitu portfolio disandang Bung Moktar sebelum ini, manakala Adun Sugut Datuk James Ratib dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
Bung Moktar yang juga Adun Lamag, berkata pelantikan yang tidak diiktiraf Umno Sabah itu dilihat membelakangkan parti dan hanya mewakili individu untuk kepentingan diri masing-masing tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.
“Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili Umno dalam barisan Kabinetnya… perkara berkenaan akan dibawa ke Lembaga Disiplin (Umno) kerana membelakangkan keputusan Umno Sabah dan BN (Barisan Nasional) Sabah.
“Kita akan berbincang dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengambil sebarang tindakan selanjutnya,” katanya yang juga Pengerusi BN Sabah menerusi kenyataan, Rabu.
Bung Moktar mendakwa rombakan tersebut juga memperlihatkan sikap cuba membelakangkan saranan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Sabah disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan pemimpin negeri itu pada Isnin lepas.
“Perlu diingat dalam pembentukan kerajaan pusat, BN merupakan penyumbang kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Umno Sabah bersedia untuk menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan memainkan peranan tersebut secara berkesan.
Terdahulu, Hajiji mengumumkan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang baharu, dengan tujuh melibatkan Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala masing-masing dua daripada BN dan Pakatan Harapan (PH).
Ia menyusuli kemelut politik yang dimulakan oleh Umno Sabah menarik balik sokongannya terhadap Ketua Menteri. Bung dan dua lagi Adun Umno, Datuk Yakub Khan dan Datuk Jafry Ariffin, digugurkan daripada barisan Kabinet Negeri baharu.
Jafry sebelum ini menyandang jawatan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sementara Yakub merupakan Menteri, Teknologi dan Inovasi.
Rombakan itu turut menyaksikan pelantikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, menggantikan Bung Moktar.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
