Dua Adun dibenar dapat semula pasport untuk 4 bulan

LocalPolitics
24 Sep 2025 • 3:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Dr Yusof Yacob yang didakwa menerima dan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah, berjaya mendapatkan semula pasport mereka buat sementara waktu untuk tujuan perjalanan ke luar negara selama empat bulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga membenarkan permohonan kedua-dua Adun itu selepas mendengar hujahan untuk permohonan itu ketika pengurusan kes pada Selasa.

Ketika membenarkan permohonan itu, mahkamah berkata penyerahan semula sementara pasport itu adalah untuk tempoh empat bulan seperti dipohon.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua Andi dan Dr Yusof agar menyerahkan semula pasport mereka kepada mahkamah pada atau sebelum 23 Januari, 2026.

Pengurusan kes pra-perbicaraan mereka selanjutnya ditetapkan pada 21 Oktober tahun ini.

Andi, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan serta Adun Sindumin Dr Yusof, 69, meminta dibicarakan pada 30 Jun tahun ini.

Andi yang juga Adun Tanjung Batu didakwa menerima rasuah sebanyak RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan daripada Sinaran Hayat Sdn Bhd untuk Lesen Penerokaan mineral di Sabah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11 malam, 12 Mei 2023, di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan, dekat sini.

Sementara itu, Yusof didakwa menerima rasuah RM200,000 juga daripada Tei, atau dikenali sebagai Albert Tei, sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan Lesen Penerokaan bagi Nusa Kini Sdn Bhd untuk tujuan penerokaan mineral di Sabah.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 2 petang, 6 Mac 2023, di Rooftop Bar & Grill @ Hilton, di sini.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan perintah larangan terhadap ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing, 37, atau Albert, yang turut didakwa atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada Andi dan Yusof bagi tujuan sama, di tempat dan masa yang sama.

Mahkamah memutuskan tidak akan mengeluarkan sebarang perintah larangan selagi ia tidak menjejaskan proses perbicaraan di mahkamah ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rustam Sanip, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen tambahan termasuk laporan analisis forensik terhadap pemacu pena (pendrive) dan telefon bimbit, pengesahan rekod pergerakan Andi dan Yusof daripada Jabatan Imigresen serta pengesahan daripada pihak telekomunikasi.

Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili kedua-dua Adun mengesahkan penerimaan dokumen berkenaan.

Semasa prosiding, Ram memohon pasport anak guamnya dipulangkan buat sementara waktu selama empat bulan kerana mereka perlu ke luar negara atas tuntutan kerja, termasuk urusan kawasan Dun masing-masing serta sebagai Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Mereka memerlukan pasport mereka dipulangkan untuk tujuan tersebut dan bagi mengelakkan perlu membuat permohonan berulang kali di mahkamah ini. Mereka juga berjanji akan memulangkan semula pasport dalam tempoh empat bulan.

“Mereka juga memaklumkan kepada saya bahawa mereka akan mengemas kini Pegawai Penyiasat (IO) mengenai lokasi mereka dari semasa ke semasa jika pihak pendakwaan tiada bantahan.

“Permohonan kedua ialah berkaitan Datuk Albert yang dipercayai akan mengadakan sidang media selepas kes ini dan kami tiada bantahan terhadapnya mengadakan sidang media kecuali jika ia bertujuan memalukan anak guam saya atau Ketua Menteri Sabah serta pihak-pihak berkaitan. Sebelum ini beliau pernah mengadakan sidang media selepas prosiding mahkamah.

“Saya merayu agar mahkamah mengeluarkan perintah larangan khusus untuk tidak menghina atau memalukan sesiapa saja yang dirasakan oleh Datuk Albert menentangnya. Saya juga percaya masih ada siasatan berjalan berhubung kenyataan beliau selepas prosiding sebelum ini,” kata Ram.

Sebagai jawapan, DPP Rustam berkata berhubung permohonan pertama supaya pasport diserahkan sementara untuk tempoh empat bulan, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan terbabit.

“Bagaimanapun kami dengan rendah diri memohon agar mahkamah menetapkan satu tarikh khusus untuk pasport tersebut dikembalikan semula kepada mahkamah bagi tujuan simpanan selamat oleh mahkamah. Bagi permohonan kedua berkenaan perintah larangan terhadap Datuk Albert, kami serahkan kepada mahkamah untuk membuat sebarang perintah berkaitan memandangkan kes ini masih sedang berjalan di hadapan mahkamah ini,” kata Rustam.

Bagi Tei, mahkamah menetapkan 24 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes pra-perbicaraan seterusnya.

Sementara itu, peguam Edward Paul yang bersama-sama Bartholomew Jinggulam dan Jul Hamri Jumhani mewakili Tei, berkata bahawa anak guam mereka telah dihalang daripada memasuki Sabah sejak Ogos tahun ini.

“Kami mengetahui tentang perkara ini di lapangan terbang pada Isnin. Sebab dia dibenarkan masuk adalah kerana prosiding hari ini. Kebimbangan kami adalah mengenai haknya untuk membuat persediaan pembelaan bagi kes ini kerana dia perlu datang ke Sabah dari semasa ke semasa untuk bertemu dengan kami bagi tujuan menyediakan pembelaannya.

“Kami memerlukan penjelasan daripada pihak pendakwaan sama ada dia hanya dibenarkan masuk ke Sabah untuk hadir perbicaraan atau ia boleh diperluaskan kepada sebab lain yang berkaitan perbicaraan ini, seperti menghadiri mesyuarat dengan kami di Kota Kinabalu untuk menyediakan pembelaannya. Jika tidak dibenarkan, ia akan menjejaskan pembelaannya,” kata Edward semasa prosiding.

Sebagai jawapan, DPP Rustam berkata pihak pendakwaan hanya mengetahui bahawa Tei telah dihalang memasuki Sabah sewaktu ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Isnin petang apabila IO menghubungi mereka.

“Tidak lama selepas itu kami telah menyerahkan Notis Pendengaran kepada tertuduh yang menunjukkan bahawa tertuduh perlu hadir bagi kes hari ini. IO telah mengesahkan bahawa larangan kemasukan tertuduh ke Sabah bukan daripada SPRM tetapi jika terdapat perintah daripada agensi lain, kami percaya ia di luar kawalan SPRM. Namun, kami boleh berhubung dengan agensi berkenaan untuk membenarkan tertuduh masuk ke Sabah sebagaimana yang kami lakukan semalam untuk membolehkan dia masuk ke Sabah,” kata Rustam.

Edward seterusnya memaklumkan mahkamah bahawa mereka sedar perintah itu hanya boleh datang daripada Pejabat Ketua Menteri dan gembira mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa mereka akan berhubung dengan agensi lain.

Mahkamah akan mengeluarkan Notis Pendengaran untuk Tei supaya dia boleh menunjukkan notis tersebut bagi tujuan memasuki Sabah.

View Original Article