
KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah merupakan antara tiga orang yang bakal didakwa berhubung siasatan berkaitan lesen perlombongan mineral.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, seorang lagi adalah orang awam dan mereka dijangka didakwa dalam hujung bulan ini, lapor Berita Harian.
“Mereka dalam proses untuk ditangkap dan kami perlu memaklumkan mereka. Mereka dalam proses dipanggil dan masih dalam proses untuk dirakam keterangan di bawah Kenyataan Beramaran.
"Tarikh mereka perlu dikemukakan ke mahkamah saya akan simpan dahulu, saya tidak akan maklumkan sehingga proses selesai.
“Tetapi yakinlah, individu-individu ini akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini atau menjelang akhir bulan ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan Kelestarian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sabah, hari ini.
Mengenai kesahihan video yang tular, Azam berkata, perkara itu tidak boleh diperincikan dan tidak boleh dibincangkan.
“Saya tidak boleh bincang lagi kerana ia akan menjadi subjudis. Saya serah kepada Timbalan Pendakwa Raya, yang akan menggunakan bukti itu di mahkamah jika mereka perlu menggunakannya.
"Tetapi yakinlah bahawa apabila menyiasat, kami tidak terlalu bergantung hanya pada bukti itu, sama ada ia tulen atau tidak. Kami juga perlu bergantung kepada beberapa bukti lain.
"Penjelasan bukan sahaja daripada audio visual, ia juga bergantung kepada penjelasan daripada manusia, manusia itu sendiri," katanya. - 18 Jun, 2025
The post Dua Adun Sabah antara tiga bakal didakwa kes rasuah lesen perlombongan: Azam Baki appeared first on Scoop.
