KUALA LUMPUR - Dua anak mangsa tragedi kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub layak menerima faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, dan adiknya, Ahmad Balia Murqam, 15, turut menerima Faedah Pengurusan Jenazah secara sekali bayar berjumlah RM3,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semakan mendapati rekod caruman arwah bapa mereka yang menjadi antara lima mangsa korban tragedi itu masih aktif.
"Berdasarkan semakan, ketua keluarga berkenaan pernah berkhidmat di sektor formal dan mencarum di bawah skim LINDUNG Pekerja melalui perkhidmatan bersama 11 majikan sejak 1990.
“Skuad PERKESO Prihatin yang cakna dengan berita sedih ini telah menziarahi waris pada hari kejadian iaitu 26 Februari lalu bagi menyegerakan semakan dan proses penyaluran faedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang pada Sabtu.
**media[3455966]**
Pada 26 Februari lepas, negara digemparkan dengan insiden kebakaran sebuah rumah di kampung itu yang mengorbankan lima sekeluarga ketika umat Islam di Malaysia baru beberapa hari menyambut Ramadan.
Tambah beliau, walaupun rekod caruman terakhir arwah Mohd Alawi Muhammad adalah pada September 2010, warisnya masih layak menerima dua faedah PERKESO.
"Justeru, Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 telah disalurkan pada 27 Februari lalu, manakala Pencen Penakat bulanan berjumlah RM373.20 telah diluluskan dan akan dikreditkan dalam tempoh terdekat," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Azman berkata, PERKESO turut melaksanakan langkah intervensi dengan mendaftarkan kedua-dua anak mangsa sebagai ahli Program Prihatin Keluarga Angkat (PROTEK) PERKESO.
Beliau menjelaskan, langkah itu bagi memastikan kebajikan, pendidikan serta keperluan sosial mereka terus terpelihara.
“Melalui program ini, PERKESO akan menyediakan sokongan pendidikan kepada Ruby Adalia yang kini melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang termasuk bantuan peralatan pembelajaran bagi menyokong proses pembelajarannya.
“Bagi adiknya, Ahmad Balia yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, PERKESO akan menyalurkan sumbangan tunai untuk pembelian peralatan serta persiapan persekolahan bagi memastikan kelangsungan pendidikannya," kongsinya lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap bantuan tersebut dapat memberi sokongan moral kepada waris.
"PERKESO akan terus melaksanakan amanah untuk menjaga kebajikan waris pencarum," katanya.



